Oleh JOCELYN GECKER
SAN ANTONIO, 20 OKT – Puluhan guru sanggup mengorbankan hari cuti mereka hanya untuk menghadiri bengkel bertajuk, ‘Meningkatkan pengajaran dengan kecerdasan buatan (AI)’.
Terpegun melihat bagaimana AI menandai tugasan secara serta-merta dan menukar rancangan pengajaran kepada podcast atau buku cerita dalam talian, seorang guru Bahasa Inggeris sekolah menengah menimbulkan kebimbangan yang turut bermain di fikiran ramai, “adakah kami akan digantikan oleh AI?”.
Itu masih belum dapat dipastikan, dan bagi memastikan 4 juta guru di seluruh negara kekal relevan dan membantu pelajar menggunakan teknologi ini dengan bijak, kesatuan guru telah membentuk satu kerjasama yang tidak dijangka dengan syarikat teknologi terbesar dunia.
Kedua-dua pihak ini tidak selalu sehaluan, tetapi mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu melatih tenaga kerja masa depan Amerika.
Microsoft, OpenAI dan Anthropic telah menyediakan jutaan dolar bagi latihan AI kepada American Federation of Teachers (AFT), iaitu kesatuan guru kedua terbesar di Amerika Syarikat.

Sebagai pulangan, syarikat-syarikat teknologi ini berpeluang untuk menembusi sektor pendidikan dan menarik minat pelajar dalam persaingan mendominasi dunia AI.
Sementara itu, Presiden AFT, Randi Weingarten berkata, rundingannya dijalankan dengan penuh berhati-hati, tetapi industri teknologi memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh sekolah iaitu dana yang besar.
Katanya, “tiada pihak lain yang membantu kami dalam hal ini, dan sebab itulah kami merasakan perlunya bekerjasama dengan syarikat-syarikat terbesar di dunia, di mana kami yang pergi kepada mereka, dan bukan mereka yang datang kepada kami”.

Pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Brad Smith, pada tahun 2023 untuk membincangkan kerjasama ini, beliau kemudian menghubungi OpenAI bagi meneruskan pendekatan “agnostik”, yang bermaksud mana-mana alat AI dari mana-mana syarikat boleh digunakan dalam sesi latihan.
Di bawah perjanjian yang diumumkan pada bulan Julai, Microsoft telah menyumbang AS12.5 juta kepada AFT selama lima tahun, OpenAI pula menyediakan AS8 juta dalam bentuk dana dan AS2 juta dalam bentuk sumber teknikal, manakala Anthropic menyumbangkan AS500,000.
Dengan dana ini, AFT merancang untuk membina sebuah pusat latihan AI di New York City yang akan menawarkan bengkel secara maya dan fizikal untuk para guru.
Ia bermatlamat untuk membuka sekurang-kurangnya dua lagi pusat latihan dan melatih 400,000 guru dalam tempoh lima tahun akan datang.

Persatuan Pendidikan Kebangsaan (National Education Association – NEA), iaitu kesatuan guru terbesar di Amerika Syarikat, juga telah mengumumkan kerjasama dengan Microsoft pada bulan lalu.
Syarikat itu telah menyediakan geran sebanyak AS325,000 bagi membantu NEA membangunkan latihan AI dalam bentuk “mikrokelayakan” iaitu latihan dalam talian yang terbuka kepada 3 juta ahli kesatuan tersebut, kata Pengarah Kanan Dasar Pendidikan NEA, Daaiyah Bilal.
Ini antara lain bermatlamat untuk melatih sekurang-kurangnya 10,000 ahli pada tahun persekolahan ini.
Pentadbiran Trump telah menggalakkan pelaburan swasta ini dengan menubuhkan Pasukan Petugas Pendidikan AI sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai “penguasaan global dalam kecerdasan buatan”.
Kerajaan persekutuan menggesa syarikat teknologi dan organisasi lain untuk menampung kos inisiatif ini, dan setakat ini, lebih 100 syarikat telah menyertai.
Microsoft juga telah melancarkan satu inisiatif bernilai AS4 bilion untuk latihan AI, penyelidikan, dan penyediaan alat AI secara percuma kepada guru dan pelajar.
Inisiatif ini merangkumi geran kepada AFT serta satu program yang akan memberikan akses percuma kepada alat Microsoft CoPilot kepada semua daerah sekolah dan kolej komuniti di Washington, iaitu negeri asal Microsoft.
Google pula menyatakan komitmen sebanyak AS1 bilion untuk pendidikan AI dan program latihan pekerjaan, termasuk akses percuma kepada platform Gemini for Education untuk semua sekolah menengah di Amerika Syarikat.
Beberapa kajian terkini mendapati bahawa penggunaan AI di sekolah semakin meningkat dengan pesat, namun latihan dan panduan masih ketinggalan.

Industri teknologi menawarkan sumber yang boleh membantu mempercepatkan usaha literasi AI, tetapi para pendidik harus memastikan setiap kerjasama memberi tumpuan kepada kepentingan guru dan pelajar.
Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah Pusat Pembaharuan Pendidikan Awam, Robin Lake.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Brad Smith pula, bersetuju bahawa para guru perlu mempunyai ‘tahap skeptisisme yang sihat’ terhadap peranan syarikat teknologi.
“Walaupun manfaatnya mudah dilihat pada masa ini, kita harus sentiasa peka terhadap kemungkinan kesan sampingan yang tidak disengajakan dan kita perlu berhati-hati di peringkat awal,” kata Smith dalam satu temu bual, sambil merujuk kepada kebimbangan seperti kemungkinan kesan AI terhadap pemikiran kritikal. – AP

