Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gerhana bulan penuh pada 7 September ini

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Orang ramai di Negara Brunei Darussalam bakal menyaksikan fenomena alam semula jadi yang jarang berlaku iaitu gerhana bulan penuh pada malam Ahad hingga awal pagi Isnin, 7 hingga 8 September.

    Perkara itu diumumkan dalam sidang media yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini, dengan kerjasama Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD).

    Hadir semasa sidang media berkenaan ialah Yang Dipertua PABD, Haji Mahadi bin Haji Mohd Tahir dan Kurator Pemeliharaan dan Pembaikan BKISHHB, Hajah Siti Norhayatty binti Haji Morni.

    Menurut Yang Dipertua PABD, fenomena gerhana bulan berkenaan akan bermula apabila bulan mula memasuki bayang penumbra bumi pada jam 11:28 malam, 7 September. Fasa penuh (totaliti) dijangka bermula sekitar 2:12 pagi, 8 September dan berlangsung selama kira-kira 82 minit sehingga 2:53 pagi, sebelum keseluruhan gerhana berakhir pada 4:55 pagi.

    “Sepanjang tempoh totaliti, bulan akan kelihatan berwarna kemerahan atau jingga gelap yang dikenali sebagai ‘Bulan Berdarah’. Keadaan ini berlaku akibat biasan cahaya matahari yang melalui atmosfera bumi sebelum sampai ke permukaan bulan,” jelas wakil PABD semasa sidang media tersebut.

    Haji Mahadi dan Hajah Siti Norhayatty hadir pada sidang media berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Dalam penerangan lanjut, sidang media itu turut menjelaskan bahawa gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan, lalu menghalang cahaya matahari daripada menyinari permukaan bulan.

    Fenomena itu hanya boleh berlaku ketika bulan purnama, iaitu apabila kedudukan matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan hampir lurus.

    Tidak seperti gerhana matahari, pihak penganjur menegaskan bahawa gerhana bulan adalah selamat untuk dilihat dengan mata kasar tanpa memerlukan sebarang alat perlindungan khas. Walau bagaimanapun, penggunaan kamera atau teleskop digalakkan untuk mendapatkan pandangan lebih jelas dan menarik.

    Sehubungan itu, BKISHHB dengan kerjasama PABD akan mengadakan aktiviti pencerapan umum yang bertempat di kawasan ruang terbuka berhadapan bangunan BKISHHB.

    Orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama menyaksikan kebesaran ciptaan Allah SWT di samping menambah ilmu pengetahuan dalam bidang falak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda