Gerhana matahari memukau

Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Pemerhati dan peminat tegar astronomi di seluruh dunia termasuk di negara ini hari ini bukan sahaja berpeluang menyaksikan fenomena alam, gerhana matahari anulus (cincin), malahan terpukau dan teruja dengan keunikannya.

Fenomena yang berlaku ketika bulan melintasi antara bumi dan matahari – tidak terlalu hampir dengan bumi dan tidak terlindung sepenuhnya daripada cahaya, meninggalkan kesan lingkaran yang boleh dilihat.

Gerhana matahari cincin itu berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun dan hanya boleh dilihat dari laluan sempit melintasi planet. Ketika fenomena itu berlaku, beberapa kawasan akan bergelap selama satu minit 22 saat.

Negara Brunei Darussalam melalui Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) turut menantikan fenomena ini dan mengadakan penstriman langsung di platform media sosial mereka.

Orang ramai yang juga teruja dengan fenomena tersebut memasang pelbagai peralatan melihat gerhana di beberapa kawasan untuk menyaksikan gerhana cincin luar biasa itu bermula jam 3:10 petang. Manakala solat Sunat Gerhana Matahari turut diadakan selepas solat Fardu Zuhur di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Gerhana matahari cincin yang dirakamkan di kediaman ahli PABD di Kiarong.
Haji Mohd Azri ketika ditemu bual di kediamanannya.
Fenomena gerhana matahari dapat dilihat menerusi skrin kamera.

Ahli-ahli PABD bersama pengamal media turut berpeluang menyaksikannya di kediaman salah seorang ahlinya, Haji Mohd Azri bin Haji Ibrahim yang memasang peralatan pemerhatian dan mengadakan penstriman langsung di rumahnya di Kiarong.

Menurut Haji Mohd Azri, cuaca elok, namun sedikit berawan tetapi orang ramai dapat menyaksikannya dengan jelas melalui peralatan astronomi dan penstriman langsung yang dibuatnya.

Penstriman langsung dijalankan dalam usaha memastikan pemerhatian selamat kerana ia tidak mudah untuk mencarinya dan mereka

yang mahu melihatnya pula dinasihatkan untuk tidak melihat secara langsung ke arah matahari serta digalakkan menggunakan kaca kimpal Shade 14, penuras solar atau teleskop, katanya.

Projek pemerhatian dan penstriman langsung yang dianjurkan PABD merupakan kerjasama Projek MY-East Asia Universe Awareness Solar Eclipse (MY-EAUNIVASE) di bawah rangkaian rakan kongsi penyelaras outreach kebangsaan bagi International Astronomical Union (IAU) di sembilan buah negara Asia Timur.

PABD juga berkolaborasi dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Per-guruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) untuk menganjurkan forum online langsung di Facebook bertajuk Astronomy Talk: The Phenomenon of Solar Eclipse.