PARIS, 23 OKT – Gerhana matahari separa akan dapat dilihat merentasi kawasan Hemisfera Utara pada Selasa, dengan ahli astronomi amatur memberi amaran untuk berhati-hati melihat fenomena yang jarang berlaku itu.
Gerhana akan bermula pada 0858 GMT di Iceland dan berakhir di pantai India pada 1302 GMT, melintasi Eropah, Afrika Utara dan Timur Tengah dalam perjalanannya, menurut institut IMCCE Balai Cerap Paris Perancis.
Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintas di antara matahari dan bumi, memancarkan bayang-bayangnya ke bumi.
Gerhana penuh matahari berlaku apabila bulan menutup matahari, menyebabkan sebahagian bumi berada dalam kegelapan sepenuhnya.
Bagaimanapun, gerhana pada Selasa itu hanya sebahagian, dan “bayang-bayang bulan tidak akan menyentuh permukaan bumi pada bila-bila masa,” kata Balai Cerap Paris dalam satu kenyataan. Bulan akan meliputi matahari maksimum 82 peratus di Kazakhstan, tetapi ia belum cukup menggelapkan siang hari, kata ahli astronomi Balai Cerap Paris, Florent Deleflie.
“Untuk merasakan kegelapan di langit, merasai sejenis cahaya sejuk, matahari perlu kira-kira 95 peratus diselubungi,” kata Deleflie kepada AFP.
Mereka yang berharap menyaksikan gerhana tidak perlu melihat matahari secara langsung, walaupun melalui awan, untuk mengelak kerosakan mata, menurut pakar. Kaca mata pelindung hendaklah dipakai sebaliknya.
Ia akan menjadi gerhana matahari separa ke-16 abad ini, dan yang kedua tahun ini.
Gerhana matahari seterusnya akan merentasi Amerika Utara pada 8 April 2024, menurut NASA. – AFP