NEW DELHI, 1 Ogos – Sebuah kumpulan industri India hari ini meminta kerajaan negara itu mengenakan sekatan terhadap import bebas cukai minyak makan dari negara-negara Asia Tenggara di bawah satu perjanjian perdagangan bebas serantau.
Import minyak dari kalangan negara-negara anggota Kawasan Perdagangan Bebas Asia Selatan (SAFTA) seperti Sri Lanka, Nepal, Bangladesh dan Bhutan yang diletakkan di bawah ‘duti import sifar,’ terbukti menjejaskan industri domestik, kata Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) dalam sepucuk surat kepada Menteri Perdagangan, Suresh Prabhu.
Ia turut mendakwa import bahan itu bertentangan dengan usaha India menyokong pasaran tempatan berbanding import minyak sawit dan minyak makan lain yang lebih murah.
Pada Mac lepas, kerajaan India bertindak menaikkan duti import minyak sawit mentah (MSM) daripada 33 peratus kepada 48.4 peratus dan disusuli kenaikan duti minyak campuran kepada 38.5 peratus pada Jun.
“Import murah menerusi negara anggota hanya menjejaskan keseluruhan inisiatif sokongan terhadap petani kerana memberi impak dari segi menjejaskan harga domestik. Akibatnya, ini akan menjejaskan petani dan tanaman domestik,” kata kumpulan yang berpejabat di Mumbai itu.
SAFTA adalah perjanjian perdagangan bebas membabitkan lapan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Serantau Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Afghanistan dan Maldives. – Bernama