MORIA, GREECE, 30 SEPT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan datuk bandar Lesbos hari ini menggesa bagi pemindahan segera penghijrah dari kem pelarian Greece yang penuh sesak di pulau itu selepas kebakaran maut di kem itu mencetuskan rusuhan.
Penghuni kem berkata seorang wanita dan kanak-kanak meninggal dunia dalam kebakaran kelmarin di Moria, kem penghijrah terbesar Eropah, yang menempatkan sekitar 13,000 orang namun memiliki kemudahan hanya untuk 3,000 orang.
Kementerian perlindungan awam hari ini mengesahkan kematian seorang individu dan berkata mereka sedang menjalankan ujian ke atas mangsa kedua. Lewat kelmarin, agensi berita Greece, ANA telah memetik sumber polis sebagai berkata seorang ibu dan anak telah meninggal dunia.
Sebuah pesawat membantu memadam kebakaran yang telah merebak ke beberapa buah kontena yang menempatkan perumahan penghijrah. Namun polis kemudian menembak gas pemedih mata untuk mengawal orang ramai yang marah yang berkata pihak berkuasa mengambil masa yang lama untuk bertindak atas insiden tersebut.
Agensi pelarian PBB (UNHCR) hari ini memberi amaran situasi di Moria sangat ‘kritikal’ dan memerlukan tindakan ‘segera’.
“Kami menyeru untuk mempercepatkan pemindahan dan meningkatkan keadaan di Moria,” kata Boris Cheshirkov, jurucakap UNHCR di Greece. Datuk Bandar Lesbos, Stratos Kytelis juga menyeru bagi ‘pulau-pulau itu dilapangkan segera dan sempadan dikawal’.
Kem itu sudah menjadi seperti bandar kecil dengan kem-kem agensi pelarian PBB dengan sekitar 8,000 orang berselerak di padang zaitun dekat kampung Moria. Yang lain ditempatkan dalam kontena. Situasi menjadi tenang hari ini namun masih ada kehadiran polis, kata penghijrah dan UNHCR. – AFP
