Gesa siasatan bebas serangan di Libya

NEW YORK, 28 JAN – Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menyeru kebertanggungjawaban pihak yang melakukan serangan udara pada Julai yang membunuh sekurang-kurangnya 53 migran dan pelarian di sebuah pusat tahanan di barat daya Libya, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam satu laporan terkini, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menggesa pihak yang bertelagah di Libya, serta kerajaan asing yang menyokong mereka, menjalankan siasatan bebas, adil dan menyeluruh untuk memastikan kebertanggungjawaban terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric, berkata laporan itu sejajar dengan penemuan PBB sebelum ini yang mendapati serangan udara itu mungkin dilakukan oleh pesawat milik negara asing.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet berkata “Orang Libya, migran dan pelarian terperangkap di tengah-tengah keganasan dan kekejaman. Mereka yang melakukan jenayah di bawah undang-undang antarabangsa mesti dipertanggungjawabkan.”

Pentadbiran disokong PBB bertempur dengan Tentera Kebangsaan Libya (LNA), yang bersekutu dengan kerajaan di Benghazi, di timur. Sengketa kedua-dua pihak memuncak pada April 2019, selepas LNA mengepung selatan Tripoli.

Serangan berlaku pada 2 Julai 2019, disifatkan insiden paling dahsyat sejak tercetusnya sengketa baharu pada April.

Laporan itu mendapati terdapat serangan udara yang dilakukan pesawat milik negara asing, namun “masih tidak jelas sama ada pesawat udara itu di bawah arahan LNA atau negara asing yang menyokong LNA .” – Bernama