LOS ANGELES – Get Out, sebuah filem berbajet rendah mendominasi carta box office sekaligus membuktikan bahawa kualiti sesebuah filem itu tidak wajar daripada jumlah kos pembikinan yang telah dilaburkan.
Filem tersebut mengisahkan mengenai seorang lelaki berbangsa Afrika-Amerika bernama Chris Washington lakonan Daniel Kaluuya yang telah dijemput oleh teman wanitanya, Rose Armitage lakonan Allison Williams.
Setibanya di rumah kekasihnya itu, Chris berasa terkejut apabila diberi amaran oleh pekerja keluarga Rose yang juga merupakan terdiri daripada warga Afrika-Amerika untuk segera menjauhkan diri daripada rumah keluarga Rose.
Pada awalnya, Chris hanya menjangkakan bahawa keluarga kekasihnya itu hanya memiliki sifat perkauman yang tidak gemar bangsa berkulit hitam namun ternyata jangkaan itu adalah jelas lebih buruk apabila bapa kekasihnya merupakan seorang pakar bedah yang kerap melakukan pembedahan pemindahan organ secara haram dan beliau berpotensi untuk menjadi mangsa yang seterusnya.
Filem seram ini digarap dan diarahkan sepenuhnya oleh Jordan Peele yang sebelum ini merupakan insan di belakang tabir yang menjayakan siri drama komedi Key & Peele.


Di dalam satu sesi temubual dengan Los Angeles Times, Peele menjelaskan bahawa kebanyakan studio memang sukar untuk menerima cadangan untuk menerbitkan filem yang bukan menampilkan sebarang karakter adiwira dan beliau memang telah tertarik untuk memilih bekerjasama dengan studio Jason Blum yang cukup terkenal berjaya mengembalikan keuntungan berlipat kali ganda berbanding jumlah kos rendah yang telah dilaburkan.
Ternyata kos sebanyak AS$4.5 juta yang telah dilaburkan untuk merealisasikan filem Get Out ini berjaya memberikan keuntungan berlipat kali ganda setelah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$30.5 juta sekaligus mendominasi carta box office.
Ia merupakan filem kelapan dalam syarikat produksi Blumhouse yang berjaya untuk mengumpulkan kutipan berlipat kali ganda di samping francais filem Paranormal Activity, Sinister dan Unfriended.
“Ramai penonton memang telah maklum akan kualiti filem yang diterbitkan oleh syarikat produksi Jason Blumhouse kerana walaupun ia hanya memerlukan jumlah kos yang rendah namun ia berjaya untuk menghiburkan para penonton,” jelas Ketua Pengedar Domestik Universal, Nick Carpou.
Awal tahun ini sahaja, Split yang juga diterbitkan oleh Blumhouse dengan kos pembikinan sebanyak AS$9 juta ternyata berjaya memberikan keuntungan besar kepada syarikat itu apabila ia mengumpulkan kutipan sebanyak AS$130.8 juta secara keseluruhan.
“Fenomena ini jelas memperlihatkan bahawa kos pembikanan filem tidak wajar untuk menjadi satu ukuran dalam memastikan kejayaan penerimaan sesebuah filem itu,” jelas Penganalisis Media Kanan di ComScore, Paul Dergarabedian.



Manakala, juara bertahan pada minggu lalu Lego Batman Movie pula harus akur berada di tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak A$19 juta sekali gus menjadikan kutipan secara keseluruhan yang diperoleh filem tersebut AS$133 juta.
Sementara John Wick: Chapter Two pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$9 juta. Filem aksi dan mendebarkan itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$74.4 juta.
Filem pengembaraan fantasi keluaran Universal, The Great Wall pula berjaya menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$8.7 juta sekali gus menjadikan kutipan secara keseluruhan yang diperoleh hasil tayangan filem tersebut selama dua minggu sebanyak AS$34.4 juta.
Fifty Shades: Darker yang juga merupakan filem keluaran Universal pula menduduki tangga kelima setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$7.7 juta di mana ia sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan yang terkumpul hasil tayangan daripada filem tersebut sebanyak AS$103.6 juta.
Walaupun kehadiran Get Out yang baru ditayangkan pada minggu ini menampilkan prestasi yang sangat cemerlang namun nasib jelas tidak menyebelahi filem Collide dan Rock Dog yang juga baru ditayangkan pada minggu ini apabila gagal untuk mendapat tempat di dalam 10 tangga teratas dalam carta Box Office.