Friday, January 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Getty Images lancar penjana imej AI

    NEW YORK, 26 SEPT – Agensi gambar Getty Images melancarkan penjana imej yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan menggunakan simpanan gambar stoknya, menurut kenyataan syarikat itu kelmarin.

    Getty, yang mempunyai arkib foto terbanyak di dunia, sedang mengambil langkah untuk menjadi pesaing kepada penghasil AI generatif terkemuka seperti pencipta Dall-E, OpenAI atau Google, dengan program Imagen. Getty juga bersaing dengan syarikat-syarikat baharu seperti Midjourney atau Stable Diffusion.

    Midjourney menjadi terkenal awal tahun ini sebagai perisian di sebalik imej yang dikongsi secara meluas, antaranya imej Pope Francis memakai jaket puffer putih, serta imej lain yang menunjukkan penangkapan palsu bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

    Getty mengatakan produk baharu mereka, yang diberi nama Generative AI by Getty Images, dibangunkan dengan kerjasama bersama gergasi cip AI, Nvidia dan ia hanya akan dapat diakses oleh pelanggan, dan bukan orang awam.

    Perkhidmatan itu akan berasaskan langganan, dengan bayaran yang bergantung kepada bilangan pertanyaan yang dikemukakan oleh pelanggan, kata seorang jurucakap kepada AFP kelmarin.

    Getty Images, yang mempunyai rakan pengedaran dengan AFP dan saluran berita dan foto lain, mengatakan bahawa ia bergantung sepenuhnya pada gambar stoknya sendiri untuk membangunkan AI. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda