Saturday, November 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ghana bergelut ‘kebanjiran’ pakaian terpakai

    ACCRA, GHANA – Nii Armah dan krunya yang terdiri daripada 30 nelayan mengambil masa selama 30 jam untuk mengangkut pukat berat mereka ke pesisir di pantai Korle-Gonno yang sibuk di ibu kota Ghana, Accra.

    Akhirnya, tangkapan mereka muncul – ikan barakuda yang sangat besar dan hasil yang kurang dialu-alukan berupa bekas pakaian yang dibuang.

    Dahulu pukat dipenuhi ikan, kini terbelit-belit dengan bertan-tan pakaian yang dibuang ke Atlantik dari pasar Kantamanto berdekatan, salah satu pasar terpakai terbesar di dunia.

    “Jaring kami kalah kepada pakaian dari pasar-pasar,” kata Armah kepada AFP. “Dan ikan-ikan, rezeki kami, semakin menjauh” bersamanya.

    Pasar Kantamanto adalah luas, seluas lebih 20 ekar di tengah-tengah daerah perniagaan Accra, dan gerai-gerainya didominasi oleh pakaian dan kasut terpakai dari Barat dan China.

    Suasana pasar Kantamanto di Accra, Ghana pada 15 November 2023. – AFP
    Peniaga menolak troli bandela pakaian terpakai di pasar Kantamanto. – AFP
    Pemandangan udara menunjukkan tapak pelupusan pakaian terpakai di Old Fadama. – AFP
    Pemandangan dari udara menunjukkan tapak pelupusan pakaian terpakai di Old Fadama di Accra, Ghana, pada 15 November 2023. – AFP
    Bandela pakaian terpakai di pasar Kantamanto pada 15 November 2023. – AFP
    Gambar AFP

    Para peniaga mengimport 15 juta pakaian seminggu, menurut kumpulan alam sekitar OR Foundation. Tetapi kira-kira 40 peratus daripada setiap bandela berakhir sebagai sisa, kata mereka, dibuang di tapak pelupusan sampah dan sering dihanyutkan ke lautan, menyebabkan krisis kesihatan awam dan merosakkan alam sekitar.

    Ghana menjadi pengimport pakaian terpakai terbesar di dunia pada 2021, menurut laman web data Observatory of Economic Complexity (OEC), dengan pakaian bernilai AS$214 juta dihantar kebanyakannya dari China, United Kingdom dan Kanada.

    Tetapi peningkatan fesyen pantas dalam tempoh dua dekad yang lalu telah membelenggu negara ini, dengan gelombang pakaian buang yang lebih besar datang dari negara yang lebih kaya dan kejatuhan harga bagi peniaga Ghana apabila kualitinya menurun.

    Walaupun perniagaan itu telah mencipta sehingga 30,000 pekerjaan mengikut beberapa anggaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan berkata ia datang pada kos “kecemasan alam sekitar dan sosial”, dengan Ghana memperoleh pendapatan kurang daripada satu juta dolar pada 2021 bagi mengeksport pakaian terpakai yang diterimanya ke negara-negara Afrika yang lain .

    Pakaian itu “kebanyakannya dibuang sembarangan kerana rawatan sisa kami tidak maju”, Hakim Adoboe dari Ghana Water and Sanitation Journalists Network memberitahu AFP.

    “Apabila hujan, air banjir membawa pakaian lama dan membuangnya ke dalam longkang, berakhir di saluran air dan mula menyebabkan kemusnahan kepada hidupan
    akuatik,” tambahnya.

    Majlis tempatan, Perhimpunan Metropolitan Accra, membelanjakan kira-kira AS$500,000 setahun untuk mengumpul dan melupuskan barangan yang tidak diingini dari pasar Kantamanto.

    Tetapi ia hanya boleh mengendalikan sekitar 70 peratus daripada sisa pasar. Selebihnya sama ada dibakar berdekatan, menyebabkan pencemaran udara, atau dibuang ke dalam ekosistem yang rapuh, menurut Or Foundation.

    Keadaan menjadi lebih buruk apabila satu-satunya tempat pembuangan sampah sanitari Ghana meletup pada Ogos 2019 selepas dibanjiri dengan pakaian terpakai.

    Tapak pelupusan Kpone ditutup selepas kebakaran tersebut, meninggalkan salah satu kota metropolis yang paling pesat berkembang di dunia tanpa tempat pembuangan sampah yang direka bentuk dengan betul.

    Hasilnya telah membawa bencana. Pasir tidak lagi kelihatan di beberapa bahagian pantai Accra, dengan timbunan tekstil terbuang dan plastik lebih daripada 1.5 meter tinggi di beberapa tempat.

    Pemantau pantai OR mengira 2,344 ‘sesungut’ tekstil – kumpulan pakaian terpakai yang berselirat – di sepanjang tujuh kilometer pesisir pantai Accra dalam tempoh setahun.

    Itu purata satu jisim pakaian setiap tiga meter, dengan beberapa sesungut sepanjang berpuluh-puluh meter, mengandungi beribu-ribu barang.

    Walaupun ibu kota Ghana kekurangan infrastruktur untuk menangani banjiran sisa seperti itu, industri “mengalami pertumbuhan yang ketara”, amaran Ganyo Kwabla Malik, pengurus Loji Kompos dan Kitar Semula Accra.

    Kerajaan Ghana lambat menangani masalah pakaian terpakai, mungkin disebabkan kebimbangan akan tindak balas orang ramai terhadap kehilangan pekerjaan.

    Ia bagaimanapun, mengharamkan import dan penjualan pakaian dalam terpakai atas sebab kebersihan pada 1994. Tetapi undang-undang itu tidak dikuatkuasakan, kecuali percubaan yang tidak berjaya untuk melak-sanakannya oleh Pihak Berkuasa Piawaian Ghana pada 2020.

    Pegawai perbandaran Accra menganggarkan bahawa tapak pelupusan sampah baharu boleh menelan belanja sekitar AS$250 juta, dan itu tanpa menangani kero-sakan alam sekitar yang telah berlaku.

    Di sebalik kerosakan alam sekitar, Malik menolak larangan perdagangan sepenuhnya, berkata sisa itu boleh dibakar dalam pembakar untuk menjana tenaga. “Apabila awda mempunyai infrastruktur yang menyokong pelaburan seperti ini, mengapa mengharamkannya?”

    Tetapi bagi nelayan, Armah, kerajaan perlu bertindak pantas.

    “Kami merayu kepada pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu mengenai perkara ini,” katanya. “Laut adalah semua yang kami ada.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda