ACCRA, 28 JULAI – Ghana merekodkan kematian pertama akibat jangkitan mpox, menurut pengesahan pihak berkuasa kesihatan negara itu kelmarin, ketika jumlah kes jangkitan menunjukkan peningkatan ketara di negara Afrika Barat tersebut.
Sebanyak 23 kes baharu disahkan dalam tempoh seminggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 257 kes sejak virus itu mula dikesan di Ghana pada Jun 2022.
Jumlah terbaharu itu juga merupakan lonjakan mingguan tertinggi sejak wabak bermula, di samping rekod kematian pertama berkaitan virus berkenaan di negara itu.
Menteri Kesihatan Ghana, Kwabena Mintah Akandoh, memberitahu AFP bahawa ‘situasi berada dalam kawalan’.
“Kunci untuk membendung wabak ini ialah pengesanan awal dan tingkah laku yang bertanggungjawab,” katanya.

Mpox, yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet merupakan jangkitan virus berkait rapat dengan cacar, yang menyebabkan demam, sakit badan dan luka kulit yang jelas dan boleh membawa maut dalam sesetengah kes.
Penyakit itu menular melalui sentuhan fizikal rapat dengan individu yang dijangkiti atau melalui barangan yang tercemar.
Sebuah agensi kerajaan Ghana yang bertanggungjawab dalam kesihatan awam dijangka akan menerima bekalan vaksin daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini.
“Golongan berisiko tinggi telah dikenal pasti dan kami bersedia untuk melancarkan pemberian vaksin sebaik sahaja dos tiba,” kata Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Awam, Franklyn Asiedu-Bekoe, kepada AFP.
Wabak di Ghana mencerminkan trend yang lebih meluas di seluruh rantau Afrika Barat, di mana pihak berkuasa kesihatan bergelut untuk membendung penularan penyakit itu. – AFP