Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ghana tak mahu berdendam

    DOHA, 29 NOV – Ghana nekad untuk melupakan keperitan yang dialami pada aksi suku akhir Piala Dunia 2010 apabila mereka sekali lagi bakal menentang Uruguay pada Jumaat.

    Salah satu insiden paling terkenal dalam sejarah Piala Dunia terkini ialah apabila pemain penyerang Uruguay, Luis Suarez dengan sengaja menghalang bola dengan menggunakan tangannya daripada masuk ke dalam gawang sekali gus menafikan kemenangan buat Ghana.

    Suarez dilayangkan kad merah namun Asamoah Gyan gagal menyudahkan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil. Suarez meraikan kegagalan tersebut di tepi padang. Lebih pahit lagi apabila Uruguay berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menang 4-2 melalui sepakan penalti.

    Kapten Ghana, Andre Ayew merupakan satu-satunya ahli pasukan yang masih kekal bermain untuk pasukan kebangsaan sehingga ke hari ini dan dia mengaku kebanyakan orang di Ghana masih lagi berdendam ke atas peristiwa 12 tahun lepas, namun dia memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian untuk mara ke peringkat seterusnya.

    “Semua orang kesiankan saya, tetapi saya hanya mahu mara ke peringkat seterusnya,” katanya kepada wartawan di Qatar pada Isnin selepas menang 3-2 menentang Korea Selatan.

    Aksi pemain Uruguay, Luis Suarez semasa perlawanan Kumpulan H Piala Dunia 2022. – AP

    “Sama ada balas dendam atau tidak, kami akan melangkah masuk padang dengan azam dan keinginan untuk menang kerana kami mahu mara ke peringkat seterusnya.”

    “Saya takkan pandang ke belakang. Saya tidak mahu fikirkan perkara yang sudah berlalu,” tambah penyerang berusia 32 tahun itu.

    Thomas Partey, pemain tengah Arsenal dari Ghana, mempunyai mesej yang serupa.

    Dia bermain untuk skuad Bawah-12 pada masa itu di Ghana dan masih ingat bagaimana ‘semua orang berasa sedih’ susulan kekalahan yang menyakitkan hati kepada Uruguay.

    “Tetapi sekarang kita diberikan peluang lagi dan kita perlu bekerja keras untuk layak,” katanya.

    “Kita perlu melupakan perkara yang sudah terjadi.”

    Jurulatih Ghana, Otto Addo turut bersetuju perkara yang berlaku pada tahun 2010 itu telah lama berlalu.

    “Saya sangat percaya dan yakin, jika awda tidak terlalu mengikut perasaan untuk membalas dendam, kadangkala awda akan dapat lebih banyak ganjaran lagi,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda