Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ghana tingkatkan usaha lindungi tenggiling

    ACCRA, 16 FEB – Pihak berkuasa Ghana dan organisasi tempatan meningkatkan usaha untuk memerangi pemburuan haram tenggiling, mamalia yang terancam, yang daging dan sisiknya merupakan antara barang yang paling banyak diseludup secara antarabangsa.

    Dianggarkan satu juta ekor tenggiling, juga dikenali sebagai anteater bersisik, telah diburu secara haram di seluruh dunia dalam sedekad lalu, terutamanya disebabkan permintaan terhadap sisik haiwan itu, khususnya di Asia.

    Selain peningkatan rondaan di kawasan perlindungan, “kami berkerjasama dengan komuniti tempatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan tenggiling dan kesan negatif dari pemburuan haram serta perdagangan,” kata Ernestina Anie, pegawai perhubungan awam di agensi pemuliharaan hidupan liar Ghana, kepada AFP menjelang Hari Tenggiling Sedunia pada 15 Februari.

    Kesemua lapan spesies tenggiling disenaraikan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), dengan enam daripadanya disenaraikan sebagai terancam.

    Ghana tidak terkecuali. Negara tersebut menjadi rumah bagi tiga spesies tenggiling iaitu tenggiling gergasi, tenggiling tanah dan tenggiling perut putih, kesemuanya terancam dan berisiko pupus.

    Gambar Freepik

    Menurut Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA), dianggarkan lima hingga 10 tan sisik tenggiling dieksport secara haram setiap tahun dari Ghana. Walaupun undang-undang negara dan antarabangsa melindungi tenggiling, pelaksanaan undang-undang masih lemah di negara itu.

    Tenggiling berfungsi sebagai pengawal perosak semula jadi, memakan jumlah besar semut dan anai-anai, manakala aktiviti menggali mereka membantu menyuburkan tanah.

    Alliance for Pangolin Conservation-Ghana, sebuah organisasi bukan kerajaan, telah aktif berusaha untuk melindungi tenggiling di Rizab Hutan Asukese dan komuniti sekitar.

    “Sudah tiba masanya kita mengambil tindakan untuk melindungi haiwan-haiwan ini. Sekiranya nenek moyang kita tidak melindungi mereka, mereka tidak akan ada di sini hari ini.

    “Kita mesti meneruskan legasi itu,” kata Pascal Agro, pengarah NGO tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda