Pengarah terkenal Malaysia, Ghaz Abu Bakar membuka lembaran baharu dalam kerjayanya menerusi penghasilan filem Qifarah.
Ghaz sebelum ini cukup dikenali menerusi naskhah aksi dan drama. Polis Evo misalnya, bukan sahaja melonjakkan nama Ghaz malah mengubah landskap filem aksi Malaysia dengan standard baharu dari segi penceritaan, lakonan dan teknikal.
Deretan karya lain seperti Tokan dan Suamiku Ustaz turut memperlihatkan kreativitinya dalam meneroka genre berbeza tanpa mengorbankan mutu produksi.
Ghaz kini tampil bersama Qifarah iaitu naskhah horror thriller sulung arahannya.
Qifarah karya penuh serius yang menuntut pendekatan berbeza, menggabungkan intensiti lakonan, sinematografi dan tema balasan yang sarat dengan makna.

Menampilkan barisan pelakon popular tanah air antaranya Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron dan ramai lagi.
Filem Qifarah dirangka untuk memberi pengalaman sinema yang lebih emosional dan mendebarkan.
Ghaz mengolah kisahnya dengan sentuhan visual muram, rentak thriller yang menghantui serta lapisan tema yang menuntut penonton berfikir di sebalik elemen seramnya.
Sebagai filem seram pertama dalam kerjaya Ghaz, Qifarah hadir bukan sekadar percubaan tetapi sebuah lonjakan evolusi yang memperlihatkan keberanian seorang pengarah untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka sempadan baharu.
Menurut Ghaz dalam satu temu bual, kelainan filem ini dapat dilihat jelas menerusi aspek visual, rekaan produksi serta ketelitian dalam prop dan kostum.
Katanya, dia sendiri terbabit secara langsung hingga ke fasa pasca produksi untuk memastikan setiap elemen seram benar-benar berhasil.
Qifarah berpotensi menjadi penanda aras penting yang mengukuhkan reputasi Ghaz sebagai pengarah versatil yang sentiasa berani mencabar dirinya.
Filem terbitan Skop Productions ini mengangkat kisah Yusoff yang kembali ke tanah air selepas lama berada di luar negara. – Agensi

