Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Sejumlah 38 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran GHK Motors Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Bilik Pameran Ibu Pejabat GHK Motors, Beribi, hari ini.
Kempen yang berlangsung dari 9 pagi hingga 11:30 pagi itu melibatkan kakitangan GHK Motors dan orang awam.
Dengan slogan ‘Beri Kehidupan untuk Orang Lain’, GHK Motors yakin bahawa menderma darah sangat penting dalam menyelamatkan nyawa seseorang.
Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) GHK, kempen bertujuan untuk memberi sokongan dan memberi kesedaran mengenai pentingnya masyarakat yang memerlukan darah.
GHK Motors merancang untuk menjalankan kempen derma darah sebagai aktiviti setiap setengah tahun.
