Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Goh Hock Kee Motors (GHK) Sdn Bhd meraikan sambutan ulang tahun jubli emas ke-50 tahun penubuhannya kelmarin di Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, Berakas.
Majlis dihadiri oleh Pengarah Urusan GHK Motors Sdn Bhd, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; Pengarah World Wide Motors Sdn Bhd, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud; Pengerusi GHK Motors Sdn Bhd, Awangku Halaluddin bin Pengiran Dato Shariffuddin; Pengarah-pengarah GHK Motors Sdn Bhd, Datin Chang Nyuk Kee, Jake Goh serta Pengiran Salleh Ab Rahaman.
Ia turut dihadiri kakitangan GHK, tetamu khas dan para perwakilan dari institusi perbankan seperti Baiduri Finance Berhad dan BIBD At-Tamwil Berhad.
Majlis ulang tahun diserikan dengan pertunjukan slaid dan tayangan video menunjukkan perjalanan dan pencapaian GHK sepanjang 50 tahun penubuhannya sejak tahun 1970 yang diterajui oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.
Acara kemuncak ialah pemotongan kek ulang tahun ke-50 disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin bersama para pengarah dan pengerusi cabang perniagaannya.



Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin turut menyampaikan ucapan ringkas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan GHK Motors atas kerja keras dan usaha yang disumbangkan kepada syarikat tersebut sehingga mencapai kejayaan seperti sekarang.
Menurutnya, kejayaan tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa pasukan yang hebat, sokongan serta fokus bersama. Beliau berharap GHK Motors akan terus bergerak maju ke hadapan dan berkembang luas pada tahun-tahun mendatang.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian anugerah penghargaan bagi 15 kakitangan GHK yang berkhidmat lebih 30 tahun.
Seorang penerima anugerah khidmat kerja lama ialah Ten Ain Suh yang sudah berkhidmat di GHK Motors selama 42 tahun dalam pasukan selepas jualan ketika ditemu bual mengatakan kepimpinan, keprihatinan dan kewibawaan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin meneraju empayar perniagaan kereta itu tercermin dalam usahanya menjaga kesejahteraan dan kebajikan kakitangan yang sentiasa diutamakan.
Majlis ulang tahun itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi tempatan, cabutan bertuah bagi kakitangan sambil menikmati pelbagai juadah istimewa.