BEIRUT, 21 JUN – Taikun kereta, Carlos Ghosn telah memfailkan saman AS$1 bilion terhadap Nissan dan kira-kira 12 individu di Beirut berhubung penahanannya di Jepun dan apa yang dikatakannya sebagai maklumat salah yang disebarkan terhadapnya, kata pegawai Lubnan, hari ini.
Menurut pegawai itu, tuntutan mahkamah Ghosn menuduh Nissan dan individu-individu tersebut memfitnah dan memalsukan pertuduhan terhadapnya, yang akhirnya menyebabkannya dipenjarakan di Jepun.
Tuntutan itu difailkan bulan lalu, kata pegawai kehakiman, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan kes itu. Para pegawai tidak mengenal pasti individu yang dituduh oleh Ghosn.
Ghosn telah ditangkap di Jepun pada November 2018 atas tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan aset syarikat untuk keuntungan peribadi dan melanggar undang-undang sekuriti dengan tidak mendedahkan sepenuh pampasannya.
Menurut Hakim Sabbouh Suleiman, yang berada di pejabat pendakwa raya Beirut, tarikh pendengaran kes itu telah ditetapkan pada September.
Pegawai kehakiman yang bercakap kepada The Associated Press berkata bahawa Nissan dan individu yang dituduh dijangka menghantar wakil ke Beirut atau menamakan peguam Lubnan untuk mewakili mereka.
Ghosn yang berusia 69 tahun, yang selama dua dekad menjadi ketua Nissan dan Renault, telah berulang kali mengatakan dia tidak bersalah.
Pada Disember 2019, dia melarikan diri selepas ikat jamin di Jepun dengan bersembunyi di dalam sebuah kotak yang diangkut ke atas jet peribadi untuk keluar dari negara itu. – AP


