NEW DELHI, 20 Sept – Legenda Manchester United Ryan Giggs dan Paul Scholes telah menimbulkan kemarahan para peminat India apabila gagal muncul pada kejohanan futsal di mana mereka dianggap sebagai tarikan bintang.
Akhbar Hindu berkata pasangan itu ‘difahamkan letih’ ketika tiba di Bangalore untuk menyertai acara itu pada Selasa.
Scholes, 42, dijangka menjadi ketua pasukan Bangalore dan Giggs, 43, untuk Mumbai dalam kejohanan Futsal Perdana. Dia menyertai pusingan kejohanan Mumbai pada Sabtu.
Tetapi pasangan itu tidak berada di bangku simpanan untuk permainan pertama di Bangalore menyebabkan peminat marah dengan pihak penganjur.
Dengan tiket berharga setinggi AS$156 termasuk sesi menyambut dan bertemu dengan dua orang legenda berkenaan, peminat yang tidak puas hati pantas menyifatkan acara ini sebagai latihan membuat wang.
“Tiket yang saya beli adalah 2,000 rupee (AS$31) untuk sehari. Saya tidak akan membuang masa di sini,” kata seorang peminat yang kecewa.
“Mereka langsung tiada rasa hormat untuk mengumumkan bahawa dua bintang mereka tidak akan beraksi pada perlawanan ini.”
Jurucakap untuk acara itu mengesahkan ketiadaan bekas pemain Manchester United tetapi tidak memberikan ulasan lanjut.
Kejohanan futsal edisi kedua itu sekarang mempunyai enam pasukan dengan lima pemain berentap dalam acara versi bola sepak tertutup.
Bekas bintang Ronaldinho dari Brazil dan Hernan Crespo dari Argentina juga merupakan sebahagian daripada legenda yang beraksi dalam acara yang akan berpindah ke Dubai minggu depan.
Giggs menikmati kerjaya luar biasa bersama Manchester United antara tahun 1990 dan 2014, menjaringkan 168 gol dalam 963 penampilan. – AFP