Saturday, October 19, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gigi terpelihara, senyuman tercipta

    Oleh Sim Y.H. –

    Program Senyum Kasih bermatlamat untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut bagi orang-orang yang berkeperluan khas dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut kepada institusi berkeperluan khas.

    Program tersebut dilancarkan melalui kerjasama Unit Pergigian Keperluan Khas dan Bahagian Kesihatan Mulut, di bawah Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan di mana program itu juga memberikan perkhidmatan pemeriksaan dan pendidikan kesihatan mulut di rumah pesakit yang menghadapi kesukaran untuk mengakses klinik pergigian sebagai contoh, orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai pergerakan yang terhad atau terlantar di katil.

    Program itu juga menggalakkan rawatan pencegahan dan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut bagi mereka yang berkeperluan khas. Program memastikan individu yang mempunyai halangan seperti masalah pengangkutan atau kesukaran mencari perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut yang sesuai akan dapat menerima bantuan yang sepatutnya, tanpa menghadapi sebarang kesulitan tatkala mengakses perkhidmatan pergigian secara menyeluruh.

    UNIT PERGIGIAN KEPERLUAN KHAS DAN BAHAGIAN KESIHATAN MULUT AWAM SERTA PERANANNYA

    Unit Pergigian Keperluan Khas telah ditubuhkan pada 2018 di mana ia merupakan sebuah unit baru yang diserapkan ke dalam sistem penjagaan kesihatan mulut di Negara Brunei Darussalam.

    Unit itu terdiri daripada dua orang pakar di mana ia komited untuk menyediakan rawatan pergigian kepada mereka yang memerlukan penjagaan khas disebabkan oleh cabaran fizikal, perkembangan, mental, deria, tingkah laku, intektual atau emosi.

    Risalah Program Senyum Kasih. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN
    Pasukan program tersebut sedang menjalankan pemeriksaan pergigian. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN
    Kenderaan yang digunakan semasa program itu dilaksanakan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN
    Sebahagian daripada kakitangan pergigian yang terlibat dalam program tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN

    Unit Pergigian Keperluan Khas bukan sahaja menyediakan rawatan pergigian yang lazim diberikan akan tetapi ia juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut khas kepada pesakit yang menghadapi cabaran untuk datang ke klinik pergigian.

    Bahagian Kesihatan Mulut Awam pula berperanan sebagai tonggak utama dalam mempromosikan serta menggalakkan penjagaan kesihatan mulut yang lebih baik secara menyeluruh.

    Bahagian itu sentiasa memberikan idea, pandangan baharu dan menganjurkan program untuk mempromosikan penjagaan kesihatan mulut.

    Bahagian Kesihatan Mulut Awam juga sering bekerjasama dengan unit-unit lain untuk membuat perancangan bagi menangani masalah kesihatan mulut bagi semua peringkat umur untuk membangunkan masa depan yang lebih sihat.

    Unit dan bahagian berkenaan membuat lawatan ke rumah-rumah pesakit yang berkeperluan khas dan menyediakan perkhidmatan pergigian termasuk pemeriksaan rutin, memberikan nasihat serta cara-cara penjagaan kesihatan mulut yang bersesuaian dengan keadaan setiap pesakit.

    Mereka akan menunjukkan kepada para pesakit dan penjaga tentang cara yang betul untuk memberus gigi dan menilai jika alat tambahan seperti Superbrush (berus gigi khas) diperlukan.

    Sebagai pencegahan, mereka juga akan melakukan sapuan pada gigi dengan varnis fluorida yang mempunyai tahap fluorida yang tinggi (22,600 ppm) untuk menguatkan gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi serta berkongsi bahan pendidikan untuk membantu mereka mengekalkan gigi dan gusi yang sihat.

    Program itu juga memberikan keutamaan kepada aspek pencegahan iaitu membantu pesakit untuk mengambil langkah pertama penting ke arah kesihatan mulut serta mengelakkan masalah pergigian yang lebih teruk pada masa hadapan.

    Jika terdapat pesakit yang dikenal pasti memerlukan rawatan khas yang selanjutnya, mereka akan diberikan temu janji susulan di klinik pergigian.

    PENYERTAAN PROGRAM SENYUM KASIH DAN EMNGAPA MENYERTAI?

    Bagi mereka yang ingin untuk menyertai program berkenaan ia mudah dilakukan, mereka boleh mendaftar dengan menghubungi pihak bahagian di talian, 2380426 sambungan 146.

    Pasukan bahagian berkenaan akan menghubungi mereka untuk mengesahkan kelayakan dan menjadualkan masa yang sesuai untuk lawatan. Pihak berkenaan juga akan memastikan bahawa semua pesakit yang layak dapat menerima penjagaan dan pendidikan yang mereka perlukan.

    Menerusi penyertaan dalam program berkenaan, para peserta akan menerima pemeriksaan mulut secara profesional di rumah, mempelajari cara untuk mengekalkan kebersihan mulut, mencegah masalah kesihatan mulut pada masa hadapan dengan rawatan pencegahan awal serta sesuai untuk individu yang mempunyai masalah pergerakan atau keperluan penjagaan kesihatan khas.

    Sehubungan itu, bahagian berkenaan mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai dalam mempromosikan kesihatan mulut yang lebih baik kepada seluruh masyarakat.

    Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian, 2380426 sambungan 146.

    PROGRAM-PROGRAM LAIN YANG DIANJURKAN OLEH BAHAGIAN KESIHATAN MULUT AWAM

    Program Senyum SiManja bermatlamat untuk menggalakkan dan mengekalkan kesihatan mulut yang baik kepada anak-anak damit yang berumur 1 hingga 5 tahun.

    Program itu memberi tumpuan kepada pencegahan awal kepada masalah kesihatan mulut dengan memastikan ibu bapa atau penjaga dan anak-anak damit dapat dibentuk dengan tabiat kebersihan mulut yang sihat sedari awal usia anak-anak mereka.

    Program Senyum Pelajar bermatlamat untuk mengurangkan kerosakan gigi bagi murid-murid sekolah rendah Tahun 1 dan 2.

    Melindungi gigi geraham kekal daripada kerosakan atau berlubang adalah penting kerana ia merupakan gigi dewasa pertama yang tumbuh dan mesti bertahan untuk seumur hidup.

    Pada kebiasaannya, gigi geraham kekal tumbuh sekitar umur 6 tahun yang bertepatan dengan murid-murid sekolah rendah Tahun 1 dan 2.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda