Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gigih dalami ilmu Bahasa Arab pencetus kejayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    ‘Tidak kenal maka tak cinta’ itulah pepatah yang digambarkan oleh seorang anak tempatan pertama yang memegang gelaran Profesor dalam Bahasa Arab iaitu Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad sejak Mac tahun ini.

    Pelantikan beliau telah diraikan pada Majlis Pengukuhan Profesor yang berlangsung pada 13 November lalu.

    Kegigihan beliau untuk mendalami ilmu dalam Bahasa Arab bermula sejak berusia 11 tahun di mana sedikit demi sedikit ianya telah menarik minatnya terhadap Bahasa Arab ini.

    Katanya lagi, “pencapaian cemerlang dalam subjek Bahasa Arab dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama (STPUB) telah memberikan keberanian untuk memilih jurusan Bahasa Arab.”

    Pada ketika itu beliau menyambung pengajian Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir pada tahun 1998, walaupun pada ketika itu hanya tiga orang pelajar Brunei sahaja memilih bidang tersebut.

    Profesor Dr Siti Sara menerima perlantikan Profesor daripada Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Profesor Dr Siti Sara bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    MERENDAH DIRI DENGAN GELARAN

    Ilmu adalah milik Allah SWT dan sebagai hambaNya kita sentiasa berusaha untuk mempelajari dan mendalami ilmu serta mensyukuri nikmat yang sangat bernilai ini.

    Ilmu sangat luas, dan kita hanya mengetahui segelintir sahaja, dan ilmu yang dipelajari perlu diajarkan dan diamalkan agar ilmu yang diperolehi mendapat keberkatan.

    “Gelaran ini adalah satu tanda dan isyarat bahawa setinggi mana pun gelaran yang kita perolehi, kita perlu sentiasa merasa rendah diri dan muhasabah diri kerana ilmu yang kita perolehi adalah sangat sedikit,” jelasnya.

    USAHA DAN PERJUANGAN MEMBUAHKAN HASIL

    Beliau merasa sangat terharu dengan pelantikan ini kerana segala pencapaian akademik yang merangkumi bidang pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel yang berkaitan dengan bidang Bahasa Arab, telah membuahkan hasil dan diiktiraf.

    Pencapaian ini bukanlah sebuah perjalanan yang singkat dan mudah bahkan ianya melalui liku-liku, cabaran dan halangan dalam pelbagai bentuk dan rupa.

    “Ia sememangnya memerlukan pengorbanan, kesabaran, ketekalan hati, dedikasi dan iltizam yang tinggi dan kental,” jelasnya.

    Pengurusan masa juga penting, di samping bijak mengenal pasti keutamaan, dan mampu menyeimbangkan antara tugas mengajar, pentadbiran dan keluarga.

    Bak kata pepatah Melayu, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’ dan ‘Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’ mulakan dengan yang kecil, dan tidak mustahil akan berkembang menjadi sesuatu yang besar seiring dengan peredaran masa.

    CABARAN MENDALAMI ILMU BAHASA ARAB

    Seperti lazminya, dalam untuk menimba ilmu memang sudah tidak lari berhadapan dengan cabaran, dan melalui cabaran itu ia mampu untuk menigkatkan diri dan mengetahui kelemahan masing-masing.

    Profesor Dr Siti Sara juga mengongsikan bahawa, pengajian di bumi Kaherah adalah sangat mencabar lebih-lebih dalam bidang Bahasa Arab kerana amat sedikit pelajar yang mengambil bidang tersebut dan kebanyakan subjek yang diajarkan menggunakan
    bahasa pasar sebagai bahasa penghantar.

    “Semangat juang perlu ada untuk sentiasa mendisiplinkan diri mempraktikan bahasa Arab standard dan dalam waktu yang sama bergaul dengan rakan-rakan Arab yang datang dari pelbagai negara agar kemahiran bertutur dapat digilap dan dipertingkatkan lagi,” jelasnya.

    Walau apa pun cabarannya, tambahnya, memang tidak dinafikan banyak ilmu yang telah diperolehi dan ditimba daripada para ulama dan pakar dalam Bahasa Arab.

    Dari pengalaman pahit dan manis saling silih berganti, kongsinya dan antara pengalaman manis ialah, meraih dan menerima beberapa penganugerahan dan pengiktirafan akademik semasa pengajian di Universiti Al-Azhar.

    Perkara itu telah menyuntik lagi semangat beliau untuk meneruskan pengajian dalam bidang Bahasa Arab dan bertekad untuk menjadi pakar rujuk dalam bidang tersebut suatu hari nanti.

    “Impian ini terlaksana kerana telah ditawarkan jawatan sebagai Tutor dalam bidang Bahasa Arab di Institut Pengajian Islam Sultan Omar Ali Saifuddien (IPISHOAS) pada tahun 2000”.

    Di sini bermulalah pengembaraan beliau sebagai seorang ahli akademik dan telah diberikan peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Sarjana Bahasa Arab di Universiti Yarmouk, Jordan dan pengajian Doktor Falsafah dalam Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    PENGLIBATAN DALAM PERKEMBANGAN BAHASA ARAB DI BRUNEI

    Bagi memantau dan memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dapat diper-tingkatkan dari semasa ke semasa, pelbagai penyelidikan ilmiah telah dijalankan.

    Beliau juga terlibat mengetuai beberapa penyelidikan bahasa Arab antaranya kurikulum Bahasa Arab bagi seluruh sekolah-sekolah Arab, kurikulum Bahasa Arab di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kurikulum Bahasa Arab untuk orang ramai dan pembangunan Model Teknologi Kolaboratif bagi pengajaran Bahasa Arab di sekolah-sekolah Arab yang memfokuskan kepada kemahiran berkomunikasi.

    Penyelidikan-penyelidikan serupa ini adalah bagi mencadangkan pembaikan dan solusi bagi isu-isu berkaitan dengan bahasa Arab antaranya kelemahan pelajar dalam berkomunikasi menggunakan bahasa Arab.

    KEBERKATAN DOA DAN SOKONGAN

    “Pengiktirafan dan pencapaian ini tidak akan dapat dicapai dan diraih tanpa adanya didikan dan tunjuk ajar yang diiringi oleh kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan doa yang berterusan yang datang dari insan-insan yang sangat dikasihi dan dihormati iaitu kedua ibu bapa saya dan kedua ibu bapa mertua saya,” jelasnya.

    “Selain itu, doa dan sokongan suami serta sokongan padu daripada ahli keluarga yang sangat perihatin turut memberikan galakan kepada kebajikan saya.”

    Katanya lagi, “sokongan dan bimbingan serta didikan para asatizah serta warga UNISSA di bawah pimpinan Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang tidak jemu-jemu mendidik dan bertungkus lumus dalam memberikan ilmu pengetahuan yang sangat berguna adalah kunci di sebalik kejayaan ini.

    “Bukan setakat itu, sahabat yang berada di dalam dan luar negara yang sentiasa berlapang dada turut membantu saya dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar yang berguna dalam mempertingkatkan lagi usaha dalam bidang akademik,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda