Gigih hasilkan pelbagai produk demi perekonomian kampung

Oleh Nurdiyanah R.

Indahnya sebuah destinasi apabila sampai menjejak kaki ke sebuah kawasan kampung yang masih terserlah persekitarannya dengan tumbuhan hijau.

Kira-kira lima kilometer dari Pekan Bangar, Kampung Puni dan Ujung Jalan, Mukim Bangar di Daerah Temburong ini sememangnya tidak asing lagi dengan penghasilan telur masin sebagai salah satu produk tempatan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ berkenaan.

Bagai suatu peluang keemasan, wartawan Media Permata baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk menerokai perekonomian yang dilaksanakan oleh penduduk di kampung tersebut yang sememangnya jelas membuktikan bahawa semangat juang mereka dalam menghasilkan sesuatu produk yang berkualiti sehingga mencetus kepada bidang keusahawanan dan sekali gus meningkatkan sektor pelancongan.

Hal inilah yang sememangnya sesuatu yang dapat membuka minda kita semua agar sentiasa memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki dengan sebaik-baiknya dengan harapan dapat mengubah keadaan masyarakat agar menjadi rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela ‘berjarih, berkarih dan berlurih’, hingga mendorong ke arah kematangan dan sikap berdikari iaitu keupayaan masyarakat ke arah ‘sara diri’.

Produk telur masin keluaran MPK Puni

Yakin dan optimis tanpa berdalih, itulah kekuatan prinsip jelas terpancar pada wajah-wajah ahli MPK Puni dan Ujung Jalan semasa berada di Balai Raya Kampung Puni. Meski mengetahui dunia berjual beli ini memiliki pasang surutnya, namun mereka tetap bangkit bersama membawa seribu harapan demi meraih rezeki pendapatan dalam kehidupan seharian.

Lebih 30 orang ahli MPK Puni dan Ujung Jalan kini telah berjaya bersama-sama mengusahakan dan menghasilkan telur masin untuk dikomersialkan bukan hanya bagi memenuhi permintaan di dalam daerah bahkan juga di luar daerah.
Bukan hanya produk telur masin bahkan MPK berkenaan juga mengetengahkan produk-produk makanan sejuk beku antaranya mini karipap dan juga pau.

MPK Puni dan Ujung Jalan mengetengahkan salah satu produk 1K1P mereka iaitu produk telur masin.

Semasa ditemui di Balai Raya Kampung Puni, Pengerusi Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Puni dan Ujung Jalan, Hajah Mahirah binti Haji Adul menjelaskan bahawa ahli MPK berkenaan mula menjalankan pemeliharaan itik penelur sekitar penghujung tahun 2009 dan sekali gus menjadikan sebagai produk telur masin sebagai salah satu produk 1K1P di daerah berkenaan.

Ujarnya, lebih 30 orang ahli MPK kini telah berjaya bersama-sama mengusahakan dan menghasilkan telur masin untuk dikomersialkan bukan hanya bagi memenuhi permintaan di dalam daerah bahkan juga di luar daerah.

“Namun kini pihak MPK kebanyakannya hanya menerima bekalan telur itik daripada para penternak itik penelur di daerah ini disebabkan berlakunya kekurangan ternakan itik penelur pada masa ini lebih-lebih lagi sambutan tempahan telur masin ini amat menggalakkan dari hari ke hari. Bukan sahaja menerima tempahan daripada penduduk-penduduk setempat bahkan juga daerah-daerah lain. Permintaan ini semakin meningkat apabila Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien ini dibukakan beberapa bulan lalu,” tambahnya dengan nada penuh kesyukuran dengan adanya penglibatan teguh daripada ahli MPK berkenaan meliputi golongan warga emas, dewasa mahu pun belia setempat.

Pentingnya pengetahuan dan kemahiran bersama

Di samping itu, Hajah Mahirah turut berkongsi cerita bahawa adapun segala pengetahuan dan kemahiran dalam memproses telur masin ini sememangnya diperolehi semasa beberapa orang ahli MPK berkenaan mengadakan lawatan di salah sebuah kawasan di Sabah, Malaysia suatu ketika dahulu sekali gus dengan mendatangkan salah seorang tenaga pengajar untuk menjalankan beberapa kursus pemantapan di kampung berkenaan.

“Berdasarkan pengalaman itulah, terdetiknya hati kami untuk menjalankan perusahaan ternakan itik dan pembuatan telur masin meliputi produk-produk hiliran yang lain sehingga kini. Bukan hanya produk telur masin bahkan kami juga mengetengahkan produk-produk makanan sejuk beku antaranya mini karipap dan juga pau.”

Sehubungan dengan itu, warga emas yang bersemangat tinggi ini juga menyarankan kepada masyarakat di negara ini terutamanya generasi muda agar sentiasa berfikiran terbuka dan positif untuk sama-sama memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada melalui dunia keusahawanan, meskipun wujudnya persaingan, namun yakin dan fokus serta usaha yang lebih giat itu amat penting untuk memantapkan penghasilan produk agar ia lebih menarik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Semai dan peganglah prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’ tanpa berputus asa dan hakislah sifat malu dan malas agar kita mampu meningkatkan prestasi perekonomian diri, keluarga dan juga negara meskipun bermula secara kecil-kecilan,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.