Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gigih mengharungi dua latar pekerjaan berbeza

    PINEDALE – Seorang penternak menggayakan jaket pasukan ski kelihatan terus gigih melakukan pekerjaannya di sebuah ladang ternakan. Jaket pasukan ski yang digayakannya itu menggambarkan pencapaian gemilang yang pernah diraihnya pada suatu ketika dahulu.

    Berikutan daripada masalah sakit pinggul yang dialaminya telah membuatkan beliau nekad untuk tidak bermain ski lagi.

    Hakikatnya, bergitu ramai jaguh ski Olimpik terkemuka seperti Lindsey Vonn, Aksel Lund Svindal dan ramai lagi yang pernah mendapat nasihat dan mengikuti latihan bersama Tom Johnston yang kini hanya meluangkan masanya melakukan kerja-kerja penternakan di ladang berkeluasan 1,800 ekar di Boulder, Wyoming.

    Johnston juga merupakan salah seorang pakar rekaan trek perlumbaan ski terkemuka dunia termasuk turut menyumbangkan idea pada rekaan trek bagi acara Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bakal diadakan di Korea Selatan pada Februari depan.

    “Ia merupakan sebuah trek menarik dan cukup mencabar di mana sehingga kini telah tujuh kali saya berulang-alik ke Korea Selatan bagi memeriksa sendiri trek yang bakal digunakan bagi acara Sukan Olimpik Musim Sejuk itu,” jelas Johnston.

    Johnston memiliki aplikasi yang boleh memaparkan enam cuaca berbeza di telefon pintarnya termasuk Korea Selatan bagi memberikan informasi kepada dia berhubung mengenai perkembangan cuaca yang terkini.

    Pada sudut yang lain, dia juga cukup gigih dalam mengusahakan ladang pertanian pelbagai jenis jerami dan ternakan lembu.

    Dia tidak menghadapi sebarang masalah berhubung mengenai bekalan air di ladang ternakannya itu memandangkan ianya sering berada pada tahap yang konsisten.

    Hakikatnya, Johnston melakukan dua jenis pekerjaan mengikut peredaran musim. Pada musim sejuk, dia akan pergi ke kelab permainan ski untuk melatih teknik permainan itu di samping juga turut berkhemah di kawasan pergunungan bersalji itu.

    Pada tahun 1998, pasukan ski AS telah menghubungi Johnston untuk mengemukakan kontrak selaku pengurus acara bagi sebarang kegiatan ski bagi peringkat kebangsaan.

    Tidak lama selepas itu, dia dilantik pula untuk menjadi penasihat teknikal bagi pasukan ski AS dan Johnston jelas menghargai jasa Tim “Swampy” La Marche yang banyak membimbing dirinya suatu ketika dahulu sehingga dia berjaya meraih kejayaan.

    Tom Johnston ketika melakukan kerja pemeriksaan gelanggang ski di Jeongseon, Korea Selatan yang bakal digunakan sebagai lokasi penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari depan. – AP
    Tom Johnston mengakui cukup seronok dan tetap melakukan dua kerja pada skop berbeza kerana hakikatnya menguruskan ladang ternakan dan mengawal selia gelanggang ski secara tidak langsung mendekatkan dirinya dengan alam semula jadi. -AP

    Johnston juga merupakan ketua bagi acara perlumbaan wanita di Salt Lake City Olimpik pada tahun 2002 dan turut mengendalikan Sukan Sochi 2014. Dia memang cukup terkenal sebagai pakar pengurusan dalam sukan ekstrem di kawasan bersalji.

    Dia juga pernah bekerjasama dalam merealisasikan trek bagi acara sukan wanita di Killington, Vermont pada bulan lalu dan juga turut menyumbangkan idea dalam perkembangan sukan salji di BeaverCreek, Colorado.

    “Trek di kawasan Beaver Creek memang merupakan salah satu trek terbaik di dunia dan kami memang sentiasa berusaha untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang sempurna,” jelas Svindal.

    Antara tugasan Johnston di Korea Selatan adalah merangkumi aspek pembinaan permukaan salji termasuk mengekalkan ciri makro seperti pemeriksaan aspek keselamatan pada bahagian lompatan agar permainan ski pada Sukan Olimpik Musim Sejuk nanti akan berjalan dengan lancar.

    Hakikatnya, hanya terdapat perbezaan tipis di antara trek permainan ski bagi lelaki dan wanita. Trek bagi lelaki akan dimulakan pada titik yang agak tinggi melalui lubang sempit sebelum bergabung semula pada bahagian utama.

    Di sepanjang trek tersebut, para pemain ski akan melakukan empat kali aksi lompatan yang telah diubah suai sejak tapak tersebut diuji dalam tempoh dua tahun yang lalu.

    Perubahan pada kawasan trek ini juga dijangka akan dapat menyediakan laluan ski yang lebih lancar dan selamat terutama bagi pemain ski yang melakukan aksi meluncur sehingga mencapai pada tahap kelajuan 128.7 kilometer per jam.
    “Kami telah melakukan perubahan pada zon mendarat dan melompat di mana ianya dapat meningkatkan tahap kelancaran di samping turut memberi peluang kepada mereka untuk melakukan aksi dengan lebih selamat walaupun hakikatnya ia tetap menimbulkan rasa debaran pada setiap kali aksi ditonjolkan,” jelas Russi.

    Ketika berada di Korea Selatan untuk melakukan pemeriksaan pada trek gelanggang ski, hatinya tetap berasa risau tatkala mengenangkan keadaan ladang ternakannya berikutan daripada impak pada ribut salji di kawasan yang berdekatan.

    Pada hari tersebut, beberapa kali dia menelefon isterinya yang bertugas selaku doktor gigi untuk segera meminta bantuan bagi memindahkan lembu-lembu ternakannya ke kawasan yang lebih selamat dan kerja-kerja pemindahan itu hanya selesai dilaksanakan pada jam 1.30 pagi.

    Aktiviti permainan ski dan mengusahakan ladang ternakan jelas merupakan dua perkara berbeza namun ia tetap dapat mendatangkan rasa kegembiraan sekaligus memberikan pencapaian membanggakan kepada Johnston memandangkan kedua-dua perkara tersebut memerlukan tahap perincian yang tinggi dan juga sangat berhubungan rapat dengan alam semula jadi.

    “Saya memang merupakan seorang individu yang sangat cerewet pada semua hal dan memang ada kalanya ia juga turut mencetuskan perbalahan memandangkan ia merupakan satu usaha yang cukup mencabar bagi merealisasikan sesebuah impian yang dapat memberikan rasa kepuasan,” jelas Johnston yang juga pernah menjadi bergiat aktif dalam acara perlumbaan di Kolej Kebangsaan Montana dan Whitman, Washington. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda