Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Peranan pengurusan pembangunan sumber manusia bagi sesebuah organisasi adalah untuk membangunkan bakat-bakat yang ada bagi manfaat organisasi berkenaan serta untuk membantu mereka mencapai potensi kompetensi sepenuhnya.
Tidak dinafikan juga bahawa bakat atau kakitangan merupakan aset yang paling penting bagi sesebuah organisasi namun begitu sumber yang diperuntukkan bagi membangunkan atau mengembangkan bakat-bakat berkenaan adalah masih rendah.
Perkara itu antara yang disentuh oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMR HR Group, Dr Amat Taap Manshor ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Competency Based Talent Management’ semasa Hari Terbuka Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) 2019 yang berlangsung di Dewan Kuliah, The Core, Universiti Brunei Darussalam.
Terdahulu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIBFM, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi yang pesat pada masa ini, iaitu revolusi industri keempat, dapat disaksikan perubahan yang pesat di semua industri, inovasi dan peredaran teknologi.
Kejayaan sesebuah syarikat bukannya bergantung pada peralatan yang termahal dan teknologi terkini tetapi adalah daripada produktiviti dan bakat individu-individu yang merangkumi syarikat berkenaan, jelasnya lagi.
Hasil dapatan kajian oleh institusi-institusi penyelidikan seperti Harvard Business Review dan Fortune 100, jelas Hajah Sufinah, organisasi yang membangunkan, melibatkan dan memotivasikan pekerja mereka menyaksikan peningkatan dari segi jumlah jualan, penyediaan perkhidmatan yang lebih baik dan pengurangan kadar kejadian kesilapan manusia.
Dalam hubungan itu, beliau percaya bahawa pelaburan yang terbaik bagi sesebuah organisasi ialah melabur ke atas individu atau bakatnya. Beliau menerangkan bahawa CIBFM akan terus menjadi pemangkin atau ejen perubahan bagi pembangunan sumber manusia sesebuah organisasi menerusi program latihan dan acara-acara yang relevan.
Acara diteruskan dengan satu pembentangan bertajuk ‘Talent Management Competency Framework’ yang disampaikan oleh Dr Amat Taap Manshor, diikuti dengan forum bertajuk ‘New World Challenges dan Solution in HR’ serta satu pembentangan mengenai latihan yang dianjurkan oleh CIBFM.
Hari Terbuka CIBFM 2019 yang dianjurkan oleh CIBFM dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) merupakan tahun kedua ia diadakan dengan membawa tema Learn, Adapt, Progress.
Ia diadakan selama dua hari bermula hari ini dan mengetengahkan sesi ceramah oleh penceramah undangan dan tempatan, pakar-pakar sumber manusia serta sesi panel perbincangan yang menumpukan kepada perkara berhubung dengan pembangunan kapasiti dan pengurusan sumber manusia.
Hari kedua esok akan lebih memfokuskan ke arah membantu pencari kerja dalam usaha mencari pekerjaan. Antara program yang akan diadakan adalah perbincangan panel mengenai jangkaan dan keperluan pihak pengurusan sumber manusia, sebelum, semasa dan selepas proses pengambilan pekerja.