Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Seramai 31 pegawai kanan yang menyertai Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan (EDPMMO) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pejabat Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) Kampung Sungai Hanching, kelmarin.
Rombongan yang dialu-alukan oleh Timbalan Yang Di-Pertua 1 MKM, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya itu telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai aktiviti dan program yang dijalankan oleh MKM disampaikan oleh ahli-ahli exco dan ahli jawatankuasa tertinggi.
Terdahulu, bacaan Surah Al Fatihah dan doa dipimpin oleh salah seorang peserta, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali sebelum Dr Hajah Kamariah binti Haji Abu Salim memberikan penerangan mengenai sejarah penubuhan MKM.
Sementara itu, taklimat mengenai Skim Fidyah, bicara undang-undang dan klinik guaman disampaikan oleh peguam syariah Yusof Halim & Partners, Awang Azril Anwar sebelum Dr Hajah Fatimah binti Chuchu menyampaikan penerangan mengenai bantuan makanan asasi, projek tahunan dan projek-projek yang dijalankan oleh MKM.

Penerangan mengenai projek-projek yang diungkayahkan MKM di luar negara ialah seperti bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh pula disampaikan oleh Dayang Zaiton binti Haji Abu Salim.
Selain diberikan penerangan, para pegawai kanan yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu juga dibawa melawat dua buah kediaman pelanggan MKM.
Lawatan peserta program pembangunan eksekutif berkenaan diadakan untuk mewujudkan jalinan kerjasama serta interaksi yang sangat bermanfaat untuk kedua-dua pihak.
Selain itu, ia juga diadakan untuk menggilap potensi kepimpinan pegawai kerajaan bagi menyerlahkan lagi kualiti dan kebolehan mereka daripada aspek kepimpinan.