Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Giliran negara anjur ASG ke-14

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) ke-14 pada 2025.

    Sehubungan itu, Majlis Penutup Rasmi Kejohanan ASG ke-13, 2024 telah diadakan di Tien Son Sports Palace, Da Nang, Vietnam pada 7 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hadir selaku jemputan khas dan wakil dari Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Pengarah Pendidikan Kokurikulum dan Chef-de-mission Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD), Awang Julaihi bin Haji Mohamad @ Mohamat.

    Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Profesor Dr Haji Noor Azam bin OKMB Haji Othman serta kontinjen MS SSBD.

    Majlis dimulakan dengan persembahan daripada ahli Trung Vuong Theatre diikuti dengan barisan lalu atlet-atlet setiap negara yang menyertai kejohanan berkenaan. Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Member of the City Party Committee, Vice Chairman of the People’s Committee of Da Nang City, Le Quang Nam.

    Dr Haji Azman mengibarkan bendera Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN pada Majlis Penutup Rasmi Kejohanan ASG ke-13, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Kontinjen MS SSBD yang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam ASG ke-13. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Kejohanan ASG ke-13 dengan rasmi ditutup oleh Timbalan Menteri Pendidikan dan Latihan selaku Ketua Penganjur Komiti ASG ke-13 Tahun 2024, Nguyen Thi Kim Chi.

    Acara kemuncak majlis ialah penyerahan bendera rasmi Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN disempurnakan oleh Nguyen Thi Kim Chi kepada Dr Haji Azman sebagai wakil tuan rumah Kejohanan ASG ke-14 Tahun 2025. Ia diikuti dengan tayangan video pendek mengenai sukan yang akan dipertandingkan di Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan ucapan penghargaan kepada negara tuan rumah, Vietnam di samping mengalu-alukan kedatangan kontinjen-kontinjen ke Kejohanan ASG ke-14 Tahun 2025.

    Pada Kejohanan ASG ke-13, MS SSBD berjaya mengutip dua pingat iaitu satu pingat perak daripada Awang Mohd Azinuddin bin Mohd Azree dalam sukan Pencak Silat Tanding Kelas C Lelaki dan satu pingat gangsa daripada Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohd Fauzi dalam sukan Pencak Silat Seni Tunggal Puteri.

    Atlet pelajar MS SSBD juga berjaya meraih pencapaian iaitu memecahkan rekod kebangsaan (9:48.21s) dalam sukan Olahraga (3,000m) oleh Awang Abdullah Abbas bin Awang Abdullah dengan catatan masa 9:41.92s.

    Manakala dalam sukan renang pula, Dayang Hayley Wong Ann Yue telah memecahkan rekod kebangsaan (28.07s) dalam acara Renang Gaya Bebas (50m) dengan catatan masa 27.94s dan pemegang bersama rekod kebangsaan (1:19.74s) dalam sukan Renang Kuak Dada (100m).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda