XI’AN, 18 MAC – Pasukan perubatan China berjaya melakukan pemindahan buah pinggang khinzir yang diubah suai secara genetik ke dalam tubuh seorang pesakit uremia, menandakan pencapaian penting dalam bidang pemindahan organ antara spesies.
Pasukan perubatan dari Hospital Xijing, Universiti Perubatan Tentera Udara China, telah menjalankan prosedur tersebut ke atas seorang wanita berusia 69 tahun yang mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir pada 6 Mac lalu. Selepas aliran darah dipulihkan, buah pinggang yang dipindahkan bertukar warna menjadi merah jambu dan mula menghasilkan air kencing.
Pada hari keenam selepas pembedahan, pesakit berada dalam keadaan stabil dengan fungsi buah pinggang yang baik, manakala pengeluaran air kencing dalam tempoh 24 jam mencapai 5,468 mililiter.
Tahap kreatinin serum, yang merupakan penunjuk utama fungsi buah pinggang, kembali normal pada hari ketiga pasca pembedahan, menunjukkan kejayaan awal prosedur tersebut, menurut pasukan perubatan.

Pesakit sebelum ini didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang kronik sejak lapan tahun lalu dan tidak berjaya mendapatkan penderma yang sesuai, menyebabkan dia bergantung kepada rawatan dialisis tiga kali seminggu. Keadaannya semakin merosot dengan kemunculan komplikasi berkaitan dialisis.
China dianggarkan mempunyai kira-kira 130 juta pesakit penyakit buah pinggang kronik, dengan jutaan daripadanya berada dalam fasa penyakit buah pinggang peringkat akhir yang terus meningkat setiap tahun.
Bagaimanapun, pasukan perubatan menyatakan bahawa pesakit masih berdepan risiko cabaran termasuk penolakan imun, gangguan pembekuan darah dan jangkitan yang berpunca daripada patogen dalam tempoh pemulihan.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya empat pemindahan buah pinggang khinzir kepada manusia telah dilaporkan, semuanya di Amerika Syarikat. Pesakit yang menjalani pemindahan pada November lalu merupakan penerima organ khinzir paling lama bertahan setakat ini, manakala pesakit keempat yang menerima pemindahan pada Januari tahun ini masih bertahan selama lebih sebulan. –Xinhua