MILAN – Koleksi pakaian lelaki, Giorgio Armani, untuk jenama terkenalnya yang dipratonton baru-baru ini pada hari terakhir Minggu Fesyen Milan adalah tentang penampilan yang menawan, dan pereka berusia 90 tahun itu telah merealisasikannya dengan tekstil yang berkilauan dan serpihan kristal.
Armani menutup empat hari pratonton pakaian lelaki untuk Musim Luruh/Sejuk 2025-26 di ibu pejabat bersejarahnya di Via Borgonuovo, membolehkan penggemar fesyen untuk menuju ke Paris bagi pusingan seterusnya.
Peminat berkumpul di belakang penghadang untuk mengambil gambar VIP termasuk Adrian Brodie, Joe Alwyn, Rocco Ritchie dan Darren Star, yang tiba untuk menghadiri pentas pertunjukan dalam suasana hujan renyai-renyai.
SILUET
Armani menetapkan pertunjukan pentas di ibu pejabat itu dalam suasana seolah-olah seperti berada di kelab yang diserikan dengan rentak lagu dan irama. Topi bertepi memberikan struktur pada siluet lembut baldu musim sejuk dan korduroi yang dilengkapi dengan tekstil berkilauan yang menyerlah lagi cahayanya.
Seluar berlipat pada pergelangan kaki mencipta pergerakan dan membolehkannya untuk dimasukkan ke dalam but bertali dengan mudah. Pakaian dilapisi dengan jaket berzip.
Selendang digantikan dengan tali leher, manakala knit besar ditukar kepada pelitup kepala.
Kolar bulu palsu, trend di Milan musim ini, digunakan pada kadar yang sedikit untuk pakaian luar.
CAHAYA DAN WARNA
Permata delima, zamrud dan nilam mencerahkan palet neutral. Pin kristal halus dihiasi pada lapel.
Beberapa penampilan wanita menekankan fleksibiliti siluet pakaian lelaki. Pertunjukan ditutup dengan pasangan mengenakan pakaian untuk malam perayaan, berkilauan dengan labuci dan kristal.
Armani melakukan tunduk penghormatan terakhir dengan memakai jaket baldu biru, menggariskan ciri keselesaan dan keanggunannya. – AP