Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Giroud, Abraham tunjuk taring di Serie A

    MILAN, 30 OGOS – Olivier Giroud dan Tammy Abraham kedua-duanya berjaya memberikan impak dalam saingan Serie A semalam dengan bekas pemain Chelsea itu membantu pasukan masing-masing AC Milan dan Roma merangkul kemenangan selesa yang membolehkan mereka mencatatkan kemenangan dari dua perlawanan pembukaan musim ini.

    Penyerang Perancis, Giroud, yang tidak dipilih untuk beraksi dalam aksi kelayakan Piala Dunia bersama Les Bleus membantu pasukan itu mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Cagliari di San Siro manakala Abraham menjaringkan gol ketika Roma melakar kemenangan 4-0 ke atas pasukan yang baharu naik Salernitana.

    Kedua-dua penyerang itu meninggalkan juara Eropah, Chelsea musim panas ini untuk mencari lebih banyak peluang bermain cemerlang di Itali.

    Giroud yang diberikan jersi bernombor sembilan di Milan, menjaringkan gol ketiga dan keempat ketika mereka meraih kemenangan mudah di San Siro.

    Namanya dilaungkan oleh sebahagian besar daripada 31,000 penyokong Milan yang hadir menyaksikan pasukan mereka mempamerkan aksi yang menghiburkan hasil sentuhan Stefano Pioli. “Saya sangat bangga bermain untuk Milan dan bermain di stadium San Siro. Ia satu emosi yang hebat,” kata Giroud.

    “Saya percaya pada diri dan kemampuan. Ketika saya kecil saya menyaksikan Van Basten, Papin dan Inzaghi dan memakai jersi mereka membuatkan saya gembira.”

    Sandro Tonali meletakkan Milan di depan pada minit ke-12 menerusi sepakan percuma yang mengagumkan dan Rafael Leao mencetak nama sebagai penjaring kedua Milan selepas Alessandro Deiola menanduk masuk gol buat lawan menyamakan kedudukan. – AFP

    Reaksi Olivier Giroud semasa meraikan jaringan golnya semalam ketika menentang Cagliari di Stadium San Siro. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda