MILAN, 15 NOV – Olivier Giroud telah digantung dua perlawanan kerana melontarkan kata-kata kesat kepada pengadil pada akhir perlawanan dramatik dan kontroversi AC Milan menentang Lecce yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, kata Serie A semalam.
Penyerang Perancis itu telah dibuang padang pada masa kecederaan di Stadio Via del Mare pada Sabtu lalu selepas melontarkan ‘kata-kata kesat’ kepada pengadil, Rosario Abisso berikutan bantahan terhadap layangan kad kuning pertama yang diterimanya.
Giroud, yang telah menjaringkan gol lapan kali musim ini, kemudian dilayangkan kad merah terus dan kini akan terlepas perlawanan di tempat sendiri menentang Fiorentina dan Frosinone selepas rehat antarabangsa.
Abisso berada di tengah-tengah kontroversi selepas Lecce yang ketinggalan dua gol berjaya menerjah gawang hasil serangan balas mengejutkan namun dibatalkan, sejurus selepas Giroud dibuang padang, di mana Roberto Piccoli akhirnya mencipta gol yang hebat menerusi rembatan dari jarak jauh.
Bagaimanapun, gol itu dibatalkan kerana Piccoli memijak kaki Malick Thiaw sebelum menerima bola.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan Presiden kelab Leece, Saverio Sticchi Damiani dan juga para penyokong yang bersorak serta para pemain dan kakitangan latihan Lecce.
Saverio Sticchi Damiani telah digantung sehingga 4 Disember kerana ‘tingkah laku menggertak pengadil perlawanan’ dan mengugut mereka di bilik persalinan selepas perlawanan.
Berikutan itu, dia menuduh Abisso dan pegawai VAR melakukan konspirasi, di mana mereka membuat ‘semakan berlebihan’ bagi mencari alasan untuk menolak gol tersebut. – AFP