Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun (MYCE) Brunei, Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd telah menganjurkan seminar OBSERVE: Harnessing Geospatial Intelligence for Climate Change yang berlangsung di Amphitheatre, Makmal Inovasi Brunei (BIL), Kampung Anggerek Desa, kelmarin.
Ketua Komersial NiAT Sdn Bhd, Wong Teck Sion dalam ucapan perasmian menjelaskan, “Perubahan iklim adalah salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi hari ini, dan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah menyediakan alat penting untuk memahami, menganalisis dan respons terhadap kesannya.
Beliau turut menekankan teknologi GIS berfungsi sebagai penghubung antara data geografi dan pemahaman alam sekitar.
Katanya lagi, “Dalam seminar ini, kami akan meneroka bagaimana GIS membolehkan kami memantau dan juga menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
“Dengan cerapan yang diperoleh daripada teknologi GIS, kami boleh menentukan kawasan yang paling terdedah kepada perubahan dan membangunkan strategi yang disasarkan untuk penyesuaian dan mengurangkan risiko bencana berkaitan iklim.
“Kami teruja untuk menawarkan platform unik kepada peserta bagi mendedahkan potensi GIS dalam mengatasi cabaran kompleks yang ditimbulkan oleh perubahan iklim. Seminar ini bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan tetapi juga memperkasa peserta untuk menyumbang secara aktif kepada operasi perubahan iklim menerusi teknologi GIS,” katanya.
Sementara itu, hadir untuk menyampaikan ceramah pada seminar itu ialah Jurutera Sistem Maklumat Geografi (GIS) di NiAT Sdn Bhd, Emily Yong Pey Pey dan Jurutera Jualan, Faiz Ya’akub.
Antara topik utama yang dibincangkan semasa seminar itu termasuk pengawasan pelepasan rumah hijau menggunakan data satelit kawalan jauh, penggunaan GIS untuk tindakan iklim dan strategi untuk pengurusan bencana.
Antara objektif utama seminar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kecerdasan geospatial dalam memahami impak perubahan iklim dan membangunkan strategi yang berkesan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan yang relevan serta orang awam.
Seminar juga berfungsi sebagai platform untuk bertukar-tukar idea, berkongsi amalan terbaik dan memupuk kerjasama antara peserta daripada pelbagai sektor, termasuk agensi kerajaan, institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta orang awam.