Nama pelakon Indonesia, Gisellma Firmansyah mungkin masih belum cukup dikenali di Malaysia, tetapi gadis berusia 19 tahun itu mula menjadi perhatian ramai sejak membintangi filem Vina: Sebelum 7 Hari, tahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, sudah hampir lapan tahun bergelar pelakon, tanpa disedari Gisellma lebih banyak mendapat tawaran membintangi filem seram sehingga dilihat bakal menjadi ratu filem seram di Indonesia.
Bagaimanapun akui selebriti yang memulakan debut menerusi filem aksi Foxtrot Enam itu, dia berharap dapat mencuba genre berbeza dan tidak terikat dengan naskhah seram semata-mata.
“Saya bimbang sedikit sekiranya produksi lain hanya melihat saya sesuai membintangi filem seram sahaja.
“Sejujurnya saya mahu mencabar diri mencuba genre berbeza, mungkin seperti aksi atau filem romantis,” katanya ketika ditemui sempena malam gala filem Anak Kunti di TGV Suria KLCC.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P18-3CSINAR-HARIAN-1_13022025.jpg)
Namun dalam masa sama, Gisellma berkata, sekiranya diberi gelaran ratu filem seram, dia menganggap ia sebagai satu pengiktirafan.
Terbaharu, Gisellma tampil sebagai watak utama bernama Sarah dalam filem Anak Kunti yang bakal ditayangkan serentak di Malaysia dan Indonesia pada 20 Februari depan.
Mengakui watak Sarah memberi cabaran kepadanya kerana perlu berdialog dalam dua bahasa Jawa berbeza, Gisellma berkata, dia bersyukur kerana tidak berdepan sebarang gangguan semasa penggambaran.
“Dua cabaran besar bagi saya adalah untuk menjayakan watak sebagai pelajar sekolah pondok itu sendiri kerana saya tidak mempunyai pengalaman belajar di sekolah pondok.
“Kemudian saya perlu belajar bahasa Jawa dari Jawa Timur ke Jawa Tengah dalam masa seminggu sahaja. Kedua-dua itu ada dialek yang berbeza dan ia agak sukar buat saya,” jelasnya. – Agensi