Sebuah gitar yang dihempaskan di atas pentas oleh penyanyi utama Nirvana, Kurt Cobain dijual hampir AS$600,000.
Rumah lelong, Julien Auctions memberitahu gitar itu dijual beberapa kali ganda daripada harga asalnya.
Kody Frederick dari Julien Auctions, berkata Fender Stratocaster hitam yang rosak dan dicantumkan semula itu tidak lagi boleh dimainkan.
Rumah lelong itu berkata pada awalnya ia menjangkakan instrumen itu akan dijual pada harga AS$60,000 ketika acara itu di hadapan penonton yang diadakan secara langsung di Hard Rock Cafe di New York.
Sebaliknya, ia dijual pada AS$595,000, kata Julien dalam satu kenyataan, menyebut jumlah itu “mengejutkan.”

“Kurt Cobain, ketika dia berada di atas pentas, ketika dia bermain, dia adalah mesin. Lelaki itu marah dan awda boleh merasakan kemarahan itu di atas pentas.
“Dan awda akan merasakan perkara berkenaan dengan cara dia memperlakukan instrumennya.
“Elemen yang rosak ini, dengan cara yang pelik, benar-benar mentakrifkan era muzik yang kasar dan bergolak ini,” katanya.
Lagu-lagu hits Nirvana, yang kebanyakannya ditulis oleh Cobain, termasuk Come As You Are, Lithium dan Smells Like Teen Spirit pada 1991 – lagu yang menjadi anthemik untuk generasi remaja.
Cobain bergelut dengan ketagihan dan kemurungan selain mempunyai hubungan huru-hara dengan isterinya, Courtney Love.
Beliau bunuh diri pada April 1994. – AFP