BERLIN/ISTANBUL, 22 MEI – GITEX Eropah 2025, acara teknologi utama yang menghimpunkan ribuan syarikat, membuka tirainya kepada pengunjung di ibu negara Jerman, Berlin kelmarin.
Pameran itu yang turut disertai syarikat pemula dan pelabur, menampilkan lebih 1,400 syarikat teknologi utama, lapor Anadolu Ajansi.
Daripada NVIDIA hingga Lenovo dan SAP ke Dell, banyak syarikat teknologi terkemuka dunia mengambil bahagian dalam acara bertemakan kecerdasan buatan (AI) itu.
Syarikat teknologi dari 67 negara mempamerkan produk mereka dalam acara berkenaan dengan Turkiye turut menampilkan sebuah pavilion. Di pavilion itu, banyak syarikat tempatan memperkenalkan penyelesaian yang dibangunkan kepada para pengunjung, termasuk dalam bidang transformasi digital dan perisian industri.
Kira-kira 30 syarikat dan institusi teknologi tempatan menyertai pameran itu, antaranya: Ambeent, Astromatik, Atmosware, Atolye15, Biruni Teknopark, Boardoza, Brandefense, CloudOffix, CMV Technology, Data Market, Datassist, DZD Tech, ElektraWeb, Enoca, Itobe, Konvo, Logo, LST Software, Magarsus, CBD Technology, Nevitech, Nexrone, Plantiary, Tangotech, Persatuan Zon Pembangunan Teknologi, Telenity, Trex, Universal Software, vMind dan Yetenex.
Acara itu turut merangkumi tema perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keselamatan siber, pengkomputeran kuantum, bandar global, teknologi hijau, serta syarikat pemula dan pelaburan, dengan pelbagai program berlangsung serentak dalam setiap bidang itu.
Sebanyak 32 syarikat unicorn dari pelbagai negara yang bernilai lebih AS$1 bilion serta lebih 600 pelabur global turut mengambil bahagian.
Selain syarikat, lebih 500 pakar akan menyampaikan ceramah pada acara itu, termasuk tokoh kanan syarikat teknologi terkemuka dunia dan eksekutif organisasi yang menumpukan dasar teknologi, bagi berkongsi pandangan mereka di GITEX Eropah 2025.
Acara ini turut dihadiri ramai pakar daripada gergasi kecerdasan buatan OpenAI serta eksekutif pelbagai syarikat AI lain, menjadikannya platform komprehensif dalam membincangkan ekosistem AI.
Pemenang Hadiah Nobel Fizik, Geoffrey Hinton yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang AI, turut berkongsi pandangan beliau kepada peserta.
Acara itu dianjurkan oleh KAOUN International dan Dubai World Trade Centre dan akan berlangsung sehingga 23 Mei. – Bernama/Anadolu
