Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Syarikat penyediaan perkhidmatan penerbangan swasta Brunei, Glamco Aviation (B) Sdn Bhd baru-baru ini telah memenangi anugerah Outstanding Supplier of the Year Asia Pasific pada majlis Penganugerahan UAS Outstanding Supplier Awards 2020-2021 yang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Anugerah pengiktirafan telah diterima oleh Pengarah Urusan Glamco, Shran J Singh.
Turut hadir ialah Presiden Eksekutif UAS, Mohammed Husary dan Ketua Pegawai Eksekutif UAS, Omar Hosari.
Shran dalam ucapan penerimaan anugerah itu berterima kasih kepada kerajaan Brunei, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan Penerbangan Awam, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Royal Brunei Catering (RBC) dan Brunei Shell atas sokongan dan perkhidmatan yang mereka sediakan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan Glamco.
Beliau turut memberikan penghormatan terhadap dedikasi dan komitmen pihak pengurusan dan kakitangan Glamco yang terdiri daripada 99 peratus warga Brunei.
Menurutnya, walaupun kekurangan dalam perjalanan udara yang disebabkan oleh pandemik, Glamco dapat mengekalkan perkhidmatan mereka dan meneruskan operasi selain menambah bilangan kakitangan.
Syarikat tersebut merupakan operator perkhidmatan penerbangan pesawat berat dan ringan, helikopter, medevac dan pesawat kargo serta perkhidmatan carter bagi penumpang dan kargo.