Glasier ALP bakal lenyap kesan pemanasan global

GLASIER ALETSCH, SWITZERLAND – Setelah berjalan berjam-jam lamanya di kawasan pergunungan dan glasier yang luas terbentang, pakar glasier Swiss Matthias Huss bercangkung di tengah glasier besar dan memeriksa ukuran.

Analisis data yang dikumpul dari Aletsch, glasier terbesar di banjaran gunung Alp, memberikan gambaran yang suram mengenai kesan hebat yang dicetuskan oleh perubahan iklim ke atas glasier gergasi itu.

Glasier Aletsch sahaja menampung kira-kira satu perlima daripada jumlah jisim atau isi padu ais yang ditemui dalam kesemua daripada kira-kira 1,800 glasier yang terdapat di Switzerland.

Namun sejak satu dekad lalu, glasier yang terdiri daripada ais dan batu seluas 80 kilometer persegi telah menyaksikan ketebalannya terhakis 1.5 meter setiap tahun. Ais sebesar satu kilometer padu juga telah cair dalam tempoh masa yang sama.

“Perubahan tersebut berlaku dengan amat cepat,” beritahu Huss kepada AFP. Pakar berusia 41 tahun itu mengetuai Pemantauan Glasier di Switzerland (GLAMOS), satu rangkaian saintifik yang mendokumenkan penyusutan glasier Swiss ketika berdepan pemanasan planet.

Matthias Huss mengambil gambar rongga ais di Glasier Aletsch. – AFP
Kumpulan remaja berjalan di Glasier Aletsch semasa kunjungan bersama pakar glasier Matthias Huss pada 25 Ogos 2021. – AFP
Gambar menunjukkan pemandangan di Glasier Aletsch. – AFP

Matthias Huss mengambil ukuran ais di Glasier Aletsch. – AFP

“Glasier betul-betul merupakan satu termometer gergasi dan boleh dilihat,” katanya, mengatakan ‘adalah lebih memilukan melihat glasier menyusut dalam isi padu dan ketebalan berbanding melihat pada carta graf yang menunjukkan suhu meningkat.’

“Glasier adalah cantik,” tambahnya, menjelaskan respons beremosi apabila orang merenung pada penyusutan dan kehilangan pembentukan ais pada masa depan.

Ahli sains GLAMOS memantau kira-kira 20 glasier Swiss setiap tahun dan telah mendapati sejak 2010, kekerapan tahun yang mencatat kehilangan ais melampau telah meningkat mendadak. Satu tahun seumpama itu adalah pada 2011, tahun seterusnya adalah pada 2015, dan seterusnya 2017, 2018 dan 2019 memecah rekod setiap satunya.

Sementara tahun lalu bukan tahun ekstrem, glasier Swiss masih kehilangan dua peratus daripada jumlah isi padu mereka, menurut Huss.

Dan pada tahun ini, trend negatif berkenaan kemungkinan besar akan berterusan, meskipun salji lebat yang turun dan musim sejuk yang dingin, tambahnya. Pemanasan global berlaku amat pesat sehingga jumlah glasier yang lebih kecil telah pun lenyap. Pada September 2019, Huss mengambil bahagian dalam pengebumian secara simbolik glasier Pizol di timur laut Switzerland, pada altitud kira-kira 2,700 meter. “Semenjak itu, kami telah menghentikan pemantauan aktif Pizol. Ia sudah tidak ada gunanya,” ujar Huss. Beliau merancang mengumpul dua sampel terakhir dalam masa beberapa minggu, namun beliau mengakui ‘selepas itu ia benar-benar akan berakhir.’ Dan Pizol pastinya bukan glasier terakhir yang telah cair, menurut Huss.

“Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, sudah tentunya terdapat glasier terkenal lain yang akan lenyap.” Pemanasan global berpunca daripada aktiviti manusia – kebanyakannya pembakaran fosil – telah menambah suhu permukaan purata Bumi sebanyak 1.1 darjah Celsius berbanding dengan paras pertengahan abad ke-19. Kebanyakan peningkatan tersebut berlaku dalam tempoh 50 tahun lalu.Huss berasa kagum dengan pembentukan ais raksasa sejak dari kecil lagi, apabila beliau pertama menjejakkan kakinya di glasier gergasi Gorner, berdekatan dengan Zermatt.

“Setiap kali saya kembali ke glasier, saya mempunyai perasaan istimewa ini, dan saya fikir mengenai pengalaman kali pertama,” katanya. Keseronokan zaman kanak-kanak tersebut amat ketara setiap kali pakar glasier tinggi-lampai namun bertubuh tegap itu menuju ke jurang glasier. Memandangkan minat Huss yang mendalam terhadap glasier, seseorang mungkin menjangkakan kerja-kerja mendokumenkan penyusutan dan kehilangan glasier menjadi satu kisah menyedihkan. “Adalah benar bahawa, sebagai seorang manusia, ia menyedihkan,” katanya. “Namun sebagai seorang ahli sains, adalah juga amat menarik untuk melihat dan menganalisis perubahan pesat sedemikian.” Huss berkata beliau berharap dengan memaparkan ukuran saintifik yang memberitahu kami mengenai keadaan glasier dapat membantu merangsang tindakan konkrit pada masa depan.

“Untuk seketika waktu, saya rasa terdapatnya perubahan sebenar dalam cara ahli politik berfikir’ tentang perubahan iklim, kata Huss, mengalu-alu hakikat bahawa ‘ramai orang sedang mengatakan sekarang bahawa kami semua perlu bertindak demi menyelamatkan glasier yang terancam.’

Namun, sementara sudah adanya pelan tindakan yang semakin meningkat, beliau menegaskan ‘pada satu tahap, pelan tersebut perlu diubah kepada sesuatu yang konkrit dan benar.’ – AFP