SYN-TASH, KYRGYZSTAN – Di pergunungan Tian-Shan di Kyrgyzstan, penduduk kampung telah menghasilkan glasier buatan untuk menyediakan air bagi ladang mereka yang dilanda kemarau.
Berdiri di atas bukit ais, petani Erkinbek Kaldanov berkata dia optimis tentang memanfaatkan alam semula jadi untuk mengatasi perubahan iklim.
“Kami tidak akan menghadapi sebarang masalah lagi dengan air,” kata penternak itu, yang bimbang dengan biri-birinya tahun lalu selepas beberapa peningkatan suhu yang luar biasa.
“Apabila glasier cair, akan ada air yang mencukupi untuk ternakan dan menyiram tanah di Syn-Tash,” daerah sekitar, katanya.
Glasier itu kini berukuran lima meter tinggi dan kira-kira 20 meter panjang. Pada kemuncak musim sejuk ia setinggi 12 meter.
Penduduk tempatan membuatnya dalam tempoh dua minggu pada musim luruh dengan mengalihkan semula air dari puncak Tian-Shan, lebih 4,000 meter di utara Kyrgyzstan.
Kaldanov dan yang lain terpaksa menyesuaikan diri memandangkan glasier semula jadi di Asia Tengah – sumber air utama bagi rantau itu – perlahan-lahan hilang akibat pemanasan global.
Satu kajian 2023 dalam jurnal Science meramalkan bahawa pecutan dalam pencairan glasier akan memuncak hanya antara 2035 dan 2055.
Kekurangan salji, juga disebabkan suhu yang lebih tinggi, tidak membenarkannya dijana semula.
Tahap masalah itu boleh dilihat dalam imej satelit Asia Tengah dan dalam amaran-amaran biasa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Masalah berkenaan memberi kesan ke atas tanah rendah Asia Tengah, di negara yang lebih gersang seperti Kazakhstan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Ini seterusnya memberi kesan kepada ketegangan sedia ada antara negara-negara berlainan, yang masih berkongsi sumber air di bawah skim yang kompleks dan lapuk yang diwarisi dari era Soviet.
“Air semakin berkurangan setiap tahun. Lapisan air (water table) semakin surut, mata air semakin kering dan kami menghadapi masalah dengan ragut,” kata Aidos Yzmanaliyev, jurucakap petani Syn-Tash.
Mencari penyelesaian adalah penting, terutamanya kerana pertanian mewakili sekitar 10 peratus daripada ekonomi Kyrgyz yang rapuh dan dua pertiga daripada penduduknya tinggal di kawasan luar bandar.
Di utara Kyrgyzstan, sebuah negara yang biasa dengan revolusi dan pemberontakan, kekurangan air telah mencetuskan ketegangan sosial dalam tempoh kemarau sebelumnya.
“Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan air untuk ternakan memandangkan majoriti 8,400 penduduk daerah Syn-Tash adalah petani,” kata ketua daerah Maksat Dzholdoshev.
“Kami menjangkakan untuk mencipta dua atau tiga glasier tiruan tambahan untuk tanah ladang,” katanya.
Idea dan pelaksanaannya agak mudah. Setiap glasier berharga sekitar 550,000 som (kira-kira AS$6,200) untuk dibuat.
“Air itu datang daripada sumber gunung sejauh tiga kilometer melalui saluran paip bawah tanah. Ia memancur keluar dan membeku, membentuk glasier,” kata Yzmanaliyev.
“Selain membekalkan air apabila ia cair, glasier juga membantu menurunkan suhu persekitaran dan mewujudkan kelembapan.
“(Itu) membantu tumbuh-tumbuhan di sekeliling, yang diragut oleh lembu dari musim bunga hingga musim luruh,” kata Yzmanaliyev.
Glasier buatan pertama kali dicipta di Himalaya India pada 2014 dan telah menjadi global – muncul di Chile dan Switzerland.
Di Kyrgyzstan, pengenalannya diterajui oleh Abdilmalik Egemberdiyev, ketua persatuan pengguna padang rumput Kyrgyz.
Egemberdiyev menunjukkan faedah tambahan.
Glasier membolehkan petani menyimpan ternakan di padang rumput musim bunga lebih lama sebelum menghantarnya ke padang rumput musim panas, sekali gus memperlahankan hakisan tanah.
“Kami kini mempunyai 24 glasier buatan di seluruh negara dan masih banyak lagi yang akan diwujudkan,” katanya. – AFP