Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Glasier Switzerland alami pencairan pantas akibat perubahan iklim

    GLETSCH, 1 OKT – Glasier Switzerland, yang terkesan secara tidak seimbang akibat perubahan iklim, telah kehilangan satu perempat daripada isi padunya hanya dalam tempoh sedekad, menurut satu kajian hari ini, sekali gus menambah kebimbangan terhadap pencairan yang semakin pantas.

    Pada 2025, pencairan glasier di negara Alp itu sekali lagi dilaporkan ‘amat besar’, kata rangkaian Glacier Monitoring in Switzerland (GLAMOS), sambil menambah kehilangan itu hampir menyamai rekod pada 2022.

    Musim sejuk dengan salji yang sedikit digabungkan dengan gelombang haba pada Jun dan Ogos menyaksikan glasier Switzerland kehilangan tiga peratus daripada isi padunya tahun ini.

    Ia menandakan tahap penyusutan keempat terbesar sejak ukuran bermula, hanya berada di belakang tahun 2022, 2023 dan 2003, menurut laporan tahunan GLAMOS.

    Glasier di seluruh Alp telah susut selama lebih daripada satu abad. Namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, proses tersebut semakin pantas seiring dengan pemanasan iklim yang didorong oleh pembakaran bahan api fosil oleh manusia.

    “Kira-kira 20 tahun lalu, semua glasier di Switzerland mengalami kehilangan ais, dan kadar kehilangan ini semakin meningkat,” kata Ketua GLAMOS, Matthias Huss, kepada AFP.

    Antara 2015 hingga 2025 sahaja, glasier telah kehilangan 24 peratus daripada isi padunya, berbanding hanya 10 peratus antara 1990 hingga 2000, menurut laporan hari ini.

    Penyelidik GLAMOS melakukan pengukuran menyeluruh di sekitar 20 glasier rujukan pada September, sebelum mengekstrapolasi dapatan itu kepada 1,400 glasier di Switzerland.

    Rantau Alp Eropah terjejas teruk akibat perubahan iklim, dengan kadar pemanasan di Switzerland berlaku dua kali ganda lebih pantas daripada purata global, menurut Pejabat Meteorologi dan Klimatologi Persekutuan Switzerland. – AFP

    Gambar yang diambil pada 12 September di atas Gletsch, Alp Switzerland, menunjukkan dua pelancong menghadap Glasier Rhone yang sedang mencair ke dalam tasik glasiernya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda