LONDON, 22 OGOS – Pemain tengah menyerang Crystal Palace, Eberechi Eze, dilihat semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Arsenal dengan nilai dilaporkan mencecah £60 juta selepas dia tidak disenaraikan dalam skuad Eagles bagi aksi Eropah mereka, kelmarin.
Pengurus Palace, Oliver Glasner, berkata dia tidak menjangkakan Eze akan beraksi lagi untuk kelab itu selepas kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama play-off Liga Persidangan menentang Fredrikstad di laman sendiri.
“Hari ini dia hubungi saya dan mengatakan dia tidak sihat serta tidak boleh bermain pada sebelah malam, sebab itu dia tidak diturunkan,” kata Glasner. Apabila ditanya sama ada dia percaya Eze akan kembali bermain untuk Palace, Glasner hanya menjawab ringkas, “Tidak.”
Pemain berusia 27 tahun itu mungkin tidak sempat memberikan perpisahan terakhir kepada penyokong setia di Selhurst Park, di mana dia dianggap sebagai wira selepas menjaringkan gol kemenangan dalam final Piala FA menentang Manchester City di Wembley pada Mei lalu – kejayaan sulung kelab selatan London itu meraih trofi utama.
Tottenham Hotspur sebelum ini dilaporkan berada di landasan untuk mendapatkan khidmat Eze sepanjang jendela perpindahan musim panas Liga Perdana Inggeris, namun usaha tersebut tampak digagalkan oleh pesaing setempat mereka, Arsenal.
Sekiranya Eze kembali menyertai The Gunners, beliau bakal menjadi pembelian ketujuh kelab itu pada jendela kali ini dan menjadikan jumlah perbelanjaan mereka melebihi £250 juta. – AFP


