Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Jati Transport selaku pengedar tunggal kereta Mercedes-Benz di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah memperkenalkan barisan kereta SUV tujuh tempat duduk pertama jenama Jerman berkenaan iaitu GLB-Class 200.
Sesi pengenalan kereta berkenaan berlangsung di Bilik Pameran Autohaus, Beribi, yang dibukakan kepada para pelanggan tetapnya.
Menurut Jati Transport, GLB-Class digambarkan sebagai sebuah kereta keluarga kompak global dalam kelas antara GLA-Class dan GLC-Class.
Di Negara Brunei Darussalam, SUV berkenaan ditawarkan dalam satu va-rian iaitu GLB 200 yang menggunakan enjin 1.33 liter yang mampu menjana 120/163hp dan 250Nm daya kilas dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.
Mercedes-Benz GLB dibangunkan menggunakan platform MFA2 yang turut sama menghasilkan A-Class, B-Class dan CLA-Class generasi baharu.
GLB-Class membawakan dimensi 4,634mm x 1,834mm x 1,658mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,829 mm. Reka bentuknya yang agak kekotakan itu sedikit lari daripada kebiasaan rekaan tipikal Mercedes-Benz bagi memaksimumkan ruang kabin.
GLB 200 mempunyai ruang yang agak luas yang boleh mencapai kapasiti maksimum 1,805 liter (lima tempat duduk) atau 1,680 liter untuk versi tiga baris tempat duduk.
Ruang dalaman pula banyak mengambil unsur daripada A-Class terkini seperti penggunaan skrin lebar berkembar, sistem infotaimen MBUX dan pencahayaan kabin suram dengan 64 warna.
Dari segi keselamatan pula, Mercedes-Benz GLB tampil dengan ciri-ciri yang diambil daripada S-Class seperti Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Penukaran Laluan Aktif, Bantuan Parkir Aktif PARKTRONIC dan sebagainya.
Ini bermakna, SUV GLB ini mampu dipandu secara semi automatik dalam sesetengah keadaan yang dibenarkan.
Untuk menjadikan GLB sebuah SUV yang benar-benar berimejkan kelasakan, ia dilengkapi cladding plastik hitam di sekeliling, skid plate serta rel bumbung di bahagian atas.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai barisan baharu SUV Mercedes Benz GLB 200, bolehlah mengunjungi bilik pameran Autohaus di Beribi.