Gleneagles JPMC jalani prosedur kardiologi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Pusat Jantung Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) hari ini, telah membuat transmisi langsung dua prosedur kardiologi ke Kongres Kardiologi ASEAN (AFCC 2019) yang diadakan di Jakarta, Indonesia.

Gleneagles JPMC telah menyediakan penjagaan jantung dan kardiak jantung tertiari di Brunei sejak 17 tahun yang lalu. Dengan dua makmal catheterization jantungnya yang berteknologi tinggi, pesakit dapat menjalani prosedur jantung yang rumit seperti angioplasti kompleks, implan peranti, kajian elektro fisiologi dan ablasi serta structural intervention.

Pakar Konsultan Kardiologi, Dr Rajinikanth Rajagopal menjelaskan, AFCC merupakan mesyuarat kardiologi tahunan yang menjemput perwakilan dari kesemua negara-negara ASEAN dan juga beberapa rantau.

Pada 2017, acara tersebut telah dianjurkan dengan jayanya di Brunei, kemudian di Bangkok pada 2018 dan tahun ini di Jakarta.

Di samping kuliah dan bengkel, mesyuarat tersebut turut mengetengahkan transmisi langsung prosedur jantung rumit dari hospital yang berlainan.

Dari kiri ke kanan: Dr Rajinikanth Rajagopal, Dr Sofian Johar, Dr Patrick Ang dan Dr Peter Tay selepas prosedur kardiologi di Gleneagles JPMC.

Tahun ini, hospital yang mengambil bahagian adalah Gleneagles JPMC Brunei, Harapan Kita Jakarta dan Hospital Besar Singapura, tambah Dr Rajinikanth Rajagopal dalam sidang media sejurus selepas prosedur angioplasti yang diadakan di Pusat Jantung Gleneagles JPMC, Jerudong, pada sebelah petang.

Juga hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay, dan Ketua Electrophysiology, Dr Sofian Johar.

Tujuan prosedur berkenaan adalah untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam kalangan negara peserta. Ia juga memberi peluang kepada pusat-pusat untuk mempamerkan kemudahan dan rawatan terkini mereka dalam rawatan penjagaan jantung.

Dr Rajinikanth Rajagopal juga mengongsikan, bagi transmisi langsung pada hari ini, Gleneagles JPMC telah menjalankan dua prosedur berbeza.

Pada sesi pagi, Dr Sofian Johar telah melakukan prosedur yang disebut Left atrial appendage dengan menggunakan alat yang disebut Watchman. Prosedur itu mengurangkan risiko strok dan pendarahan pada pesakit yang mempunyai degupan jantung tidak teratur.

Pada sesi petang pula, Dr Rajinikanth Rajagopal dan Pengarah Kardiologi Invasif, Dr Patrick Ang melakukan prosedur angioplasti (stent) yang kompleks menggunakan teknik-teknik canggih seperti Quantitative Flow Ratio dan Optical Coherence Tomography.

Penggunaan teknik pengimejan dan pengukuran itu dapat meningkatkan kejayaan prosedur serta manfaat jangka masa panjang untuk para pesakit.