Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Sempena Hari Jantung Sedunia, sekumpulan profesional penjagaan kesihatan dari Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) yang terdiri daripada 20 orang pendaki telah menyahut cabaran mendaki Gunung Kinabalu 16 September lalu.
Aktiviti pendakian itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Gleneagles JPMC untuk mempromosikan kesihatan jantung dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, pendakian tersebut juga adalah sebagai aktiviti bagi menandakan kepentingan kesihatan kardiovaskular dan meningkatkan kesedaran tentang pencegahan penyakit jantung. Ia juga sejajar dengan tema Hari Jantung Sedunia pada tahun ini iaitu Use Heart for Action, memperkasakan individu untuk mengambil serius kesihatan kardiovaskular dan menggunakan platform ekspedisi itu bagi menggalakkan orang lain menumpukan pada perjalanan kecergasan mereka.
Pendakian dalam keadaan cuaca yang teruk menjadi bukti komitmen dan sokongan kumpulan terhadap usaha itu, di mana ia menunjukkan tentang jantung yang sihat dalam menerima cabaran fizikal di tengah-tengah banyak halangan sama ada secara individu atau sebagai satu kumpulan.
Disebabkan keadaan cuaca yang semakin buruk, ekspedisi untuk mencapai misi ke puncak dihentikan atas nasihat pegawai yang bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, tiba di Panalaban iaitu hentian pit terakhir ekspedisi gunung dengan selamat adalah satu pencapaian.
Mengulas mengenai kepulangan kumpulan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay, menekankan, mereka di Gleneagles JPMC berbangga dengan para peserta berkenaan kerana menyahut cabaran mendaki Gunung Kinabalu untuk tujuan yang baik.
“Kami komited untuk menyokong keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang sihat bagi kakitangan kami, dan inisiatif seperti ini membantu mereka kekal berhubung antara satu sama lain serta meningkatkan kesejahteraan mental mereka. Ekspedisi itu merupakan contoh yang bagus tentang cara kekal aktif di mana ia boleh memberikan manfaat kepada mereka sebagai individu dan sebagai satu kumpulan, selaras dengan semangat Hari Jantung Sedunia,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari, berkongsi pengalamannya bahawa mereka menjangkakan pendakian itu mencabar akan tetapi tidak seperti tahap yang telah dialami, terutamanya dengan cuaca buruk.
“Latihan penuh dedikasi selama berbulan-bulan telah menyediakan kumpulan kami dengan baik untuk mengatasi cabaran ini secara kolektif. Kami berterima kasih kepada Gleneagles JPMC atas peluang untuk menjadi sebahagian daripada ekspedisi ini dan bersama-sama sebagai satu kumpulan bagi mengatasi banyak halangan sepanjang pendakian dua hari. Kami berharap pengalaman ini akan memberikan inspirasi kepada orang lain dalam perjalanan kecergasan mereka, untuk menjalani kehidupan yang lebih kuat dan sihat,” ujarnya.
Penolong Pengurus Jururawat dari Jabatan Teater Operasi, Dayang Roslinda binti Bachok turut menambah bahawa ia adalah ekspedisi yang sukar, terutamanya dengan cuaca buruk, tetapi pengalaman saat bersama rakan sekerja itu dirasakan begitu berharga. Beliau turut bersyukur kerana telah meraih pencapaian ini bersama Gleneagles JPMC.
Hari Jantung Sedunia disambut setiap tahun pada 29 September, sebagai kempen global untuk mendidik dan mendorong individu untuk menjaga kesihatan jantung mereka. Gleneagles JPMC terus memperjuangkan kesihatan kardiovaskular sebagai pusat kecemerlangan melalui pelbagai inisiatif, seperti pemeriksaan jantung, program pendidikan, dan aktiviti penglibatan komuniti; termasuk Larian Brunei Hari Jantung Sedunia 2024 yang akan datang pada 6 Oktober, di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.



