Glenn Fredly meninggal dunia

Penyanyi yang popular dengan lagu Januari, Glenn Fredly, meninggal dunia di sini, petang tadi, waktu tempatan.

Memetik laporan KOMPAS.com, berita sedih itu dimaklumkan rakan seperjuangan Glenn, Tompi.

“Telah berpulang saudara kami, Glenn Fredly, malam ini.

“Mohon dimaafkan semua salahnya. Dia yang selalu hadir menggerakkan kita semua,” katanya melalui aplikasi WhatsApp yang dikirim kepada portal berita berkenaan.

Sehingga berita ini ditulis, punca penyanyi berusia 44 tahun itu meninggal dunia masih belum diketahui.

Dalam laporan lain, agensi menyebut, Glenn menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Setia Mitra jam 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Pemergian Glenn sebagai kehilangan besar kepada dunia muzik Indonesia. – Agensi

Sementara itu, akaun Instagram (IG) Glenn dibanjiri ratapan peminat yang rata-rata tidak percaya berita pemergian penyanyi kesayangan mereka itu.

Lahir dengan nama Glenn Fredly Deviano Latuihamallo pada 30 September 1975, Glenn memulakan karier seni dengan menjadi vokalis Funk Section pada 1995.

Tiga tahun kemudian, Glenn mengorak langkah sebagai penyanyi solo dan melancarkan album bertajuk Glenn.

Glenn juga membentuk kumpulan trio bersama Tompi dan Sandhy Sondoro dan diberi nama Trio Lestari.

Penyanyi yang terkenal dengan muzik pop, R&B dan jazz ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dangdut, Mutia Ayu pada 2019.

Sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan penyanyi Dewi Sandra pada 2006 dan bercerai tiga tahun kemudian. – Agensi