DETROIT, 9 JUN – Kenderaan elektrik yang dibuat oleh General Motors akan dapat menggunakan sebahagian besar rangkaian pengecasan Tesla yang meluas mulai awal tahun depan di bawah perjanjian yang diumumkan oleh kedua-dua syarikat, kelmarin.
Di samping itu, GM akan menggunakan kabel penyambung Tesla, iaitu kabel yang menghubungkan kenderaan elektrik ke stesen pengecasan.
GM menyertai Ford untuk memastikan kenderaan elektriknya berfungsi dengan kira-kira 12,000 daripada 17,000 pengecas Tesla, dan kedua-dua pembuat kereta Detroit itu sedang berusaha untuk menjadikan kabel penyambung Tesla sebagai alatan standard industri.
Ketua Pegawai Eksekutif GM, Mary Barra dan rakan sejawatannya di Tesla, Elon Musk, membuat pengumuman itu semasa perbualan di Twitter Spaces.
Perbincangan mereka dibuat dua minggu selepas Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley menyertai Musk untuk mengumumkan bahawa kenderaan elektrik Ford akan mendapat akses kepada kebanyakan rangkaian pengecasan EV Tesla, yang terbesar di negara itu.

Farley juga berkata Ford akan beralih kepada kabel penyambung Tesla dan bukannya menggunakan kabel yang digunakan oleh seluruh industri.
Pada mulanya, pemilik GM dan Ford EV memerlukan penyesuai untuk menyambung ke stesen Tesla, yang mempunyai kabel penyambungnya sendiri. Tetapi kedua-dua GM dan Ford akan bertukar kepada penyambung piawai pengecasan Tesla di Amerika Utara bermula dengan EV baharu yang dihasilkan pada 2025.
Tesla mempunyai kira-kira 17,000 stesen pengecas Super di Amerika Syarikat (AS).
Terdapat kira-kira 54,000 stesen pengecas awam di AS, menurut Jabatan Tenaga, tetapi kebanyakannya mengecas lebih perlahan berbanding dengan stesen Tesla.
“Seperti Ford, kami melihat ini sebagai peluang untuk mengembangkan akses kepada pengecasan,” kata Barra sambil menambah bahawa GM berharap seluruh industri akan berpindah ke kabel penyambung pengecasan Tesla, yang berbeza daripada kabel CCS yang digunakan pada kebanyakan EV lain. – AP