SINGAPURA, 15 APRIL – Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri Malaysia yang meninggal dunia pada Isnin, dikenang sebagai seorang sahabat yang ikhlas dan pemimpin yang menghargai pentingnya kerjasama erat antara Singapura dan Malaysia.
Bekas perdana menteri Singapura, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong berkata Abdullah pernah mengibaratkan kedua-dua negara sebagai rumah berkembar, yang penghuninya harus mencari jalan untuk hidup aman dan harmoni sebagai jiran.
“Beliau bertindak berdasarkan kepercayaan itu,” kata Goh dalam satu hantaran di Facebook, bersama sekeping gambar beliau dan Abdullah semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina Kongsi Raya di Danga Bay, Johor, pada 2004.
Goh berkata beliau dan Abdullah, yang masing-masing memegang jawatan perdana menteri pada 2003/2004, telah menjalin persahabatan jauh lebih awal daripada itu.
Abdullah berkhidmat sebagai perdana menteri kelima Malaysia dari Oktober 2003 hingga April 2009, manakala Goh merupakan perdana menteri kedua Singapura dari November 1990 hingga Ogos 2004.
Goh yang sedih dengan pemergian Abdullah turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah serta rakyat Malaysia atas kehilangan tersebut.
Goh merupakan antara pemimpin Singapura yang menyampaikan ucapan takziah. Menteri Kanan Lee Hsien Loong turut menghadiri Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Isnin. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan pada 2.30 petang Selasa. – Bernama
