Gol akhir minit Draxler selamatkan PSG

PARIS, 17 SEPT – Julian Draxler menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan kelmarin untuk memberikan Paris Saint-Germain kemenangan pertama mereka musim ini, 1-0 di laman sendiri menentang Metz.

PSG, yang kebanyakan pemain bintang mereka diketepikan sebelum sepak mula, terpaksa bermain dengan sembilan orang semasa Draxler menyambut bola muntah untuk menjaringkan gol pertama PSG bagi musim ini.

“Saya sangat bangga. Sejujurnya ia sangat hebat. Saya masih memikirkan mengenainya kerana saya masih tidak percaya,” kata pengurus PSG, Thomas Tuchel selepas perlawanan.

PSG, yang kekurangan pemain, terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pemain pertahanan, Abdou Diallou dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-65 dan keempat buat kelab musim ini.

Semasa saat-saat akhir perlawanan, pemain pertahanan Juan Bernat, yang digantikan pada minit ke-63 bermain dengan mengalami kecederaan lutut, meninggalkan PSG selepas mereka telah menggunakan semua pemain gantian mereka terpaksa bermain dengan sembilan orang.

Aksi Julian Draxler semasa menentang Metz. Draxler berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan untuk memberikan kemenangan pertama PSG musim ini.- AFP

“Kesemua peminat boleh merasa bangga, kami masih layak untuk memenangi perlawanan, sembilan menentang 11,” kata Tuchel.

Semasa perlawanan berlangsung, liga Perancis mengumumkan bahawa Neymar dan Leandro Paredes akan digantung sebanyak dua perlawanan dan enam perlawanan bagi Layvin Kurzawa selepas menerima kad merah semasa tewas di laman sendiri menentang Marseille pada Ahad yang berakhir dengan pergaduhan.

Seorang lagi bintang mereka, Kylian Mbappe kekal berada dalam pengasingan diri koronavirus sementara Thilo Kehrer dan Marco Veratti mengalami kecederaan.

Tetapi penyerang Mauro Icardi, pemain pertahanan Marquinhos dan penjaga gol, Keylor Navas kembali selepas menamatkan tempoh kuarantin.

“Kami telah bekerja keras, kami melakukan banyak pertukaran, menggunakan ramai pemain yang tidak turun berlatih bersama kami buat seketika, dengan pemain masih belum bermain dalam tempoh yang lama,” kata Tuchel. “Tetapi segala kerja keras masih perlu.

Mereka mendominasi penguasaan bola kelmarin tetapi gagal mencari gol sehingga percubaan Draxler pada saat kecederaan telah menyelamatkan mereka dari meneruskan musim mereka tanpa sebarang gol dalam tiga perlawanan, buat kali pertama dalam sejarah 50 tahun. – AFP