MADRID, 23 OKT – Gol Jude Bellingham membantu juara 15 kali, Real Madrid, mengekalkan rekod 100 peratus kemena-ngan mereka dalam Liga Juara-Juara apabila menewaskan Juventus 1-0 kelmarin.
Pasukan kelab Sepanyol bimbingan Xabi Alonso mendominasi perlawanan tetapi gagal menambah jaringan selepas pemain antarabangsa England itu memanfaatkan peluang dari jarak dekat pada separuh masa kedua.
Juventus, yang kini masih belum memperoleh kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut, berjuang habis-habisan tetapi gagal mencari gol penyamaan di Santiago Bernabeu.
Kemenangan Madrid itu menjadi persiapan sempurna menjelang pertembungan Clasico menentang Barcelona dalam saingan La Liga pada Ahad ini dan meletakkan mereka antara lima pasukan yang memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan, termasuk juara bertahan Paris Saint-Germain.
Kedua-dua pasukan cuba memahami corak permainan pada permulaan perlawanan, tetapi perlahan-lahan pasukan Alonso mula menguasai rentak.
Brahim Diaz menghantar bola kepada bintang Perancis, Kylian Mbappe, tetapi rembatan penyerang itu berjaya ditepis oleh Michele Di Gregorio.
Mbappe kemudian melakukan larian solo hebat dari sebelah kanan sebelum menghantar bola kepada Eder Militao, yang melepaskan rembatan sedikit tersasar.
Bellingham pantas menyambar bola muntah dan menolak masuk pada minit ke-57.
Gol tersebut merupakan gol pertama pemain berusia 22 tahun itu musim ini dalam penampilan ketujuhnya, selepas permulaan perlahan berikutan pembedahan bahu musim panas lalu.
Jurulatih Alonso juga gembira dengan prestasinya di Bernabeu sejak April. – AFP


