BARCELONA, 3 SEPT – Jude Bellingham menyelamatkan Real Madrid dengan jaringan lewat pada minit ke-95 untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Getafe kelmarin dan mengekalkan permulaan sempurna Los Blancos untuk La Liga, ketika mereka bermain di bawah bumbung tertutup di Santiago Bernabeu buat kali pertama.
Pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol kelimanya dalam empat perlawanan untuk merampas tiga mata daripada pertembungan derby, perlawanan pertama Madrid tanpa penyerang Vinicius Junior yang cedera.
Joselu, pengganti pemain Brazil itu, berjaya menyamakan kedudukan bagi pasukan Carlo Ancelotti selepas bekas penyerang Madrid, Borja Mayoral menghantar pasukan pelawat di hadapan dalam perlawanan pertama di bawah bumbung di stadium yang diubah suai Madrid.
Pendahulu La Liga Madrid memulakan musim dengan tiga perlawanan pembukaan mereka di tempat lawan, sementara kerja pembinaan diteruskan.
Ia membolehkan bumbung boleh ditarik untuk disiapkan dan ia ditutup pada Sabtu, dengan hujan melanda ibu negara Sepanyol – tetapi tidak menjejaskan pemain-pemain.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P22-A-web-AFP_04092023.jpg)
“Ia suasana yang menakjubkan, ada sesuatu yang baharu,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti kepada pemberita. “Saya rasa peminat-peminat memberikan tekanan besar hari ini, ia adalah suasana yang lebih tertutup.
“Awda boleh merasakan bahawa peminat-peminat memberi dorongan – ia akan menjadi sokongan yang sangat penting dan ia telah terjadi hari ini,” tambahnya.
Getafe tidak memasukkan penyerang pinjaman Manchester United, Mason Greenwood dalam pasukan mereka, selepas ketibaannya pada Jumaat.
Penyerang itu telah digantung oleh Red Devils sejak Januari 2022 selepas menghadapi dakwaan penderaan walaupun pendakwa kemudiannya menggugurkan pertuduhan tersebut. – AFP