LONDON, 1 Okt – Manchester City membuktikan kemampuan mereka meraih gelaran Liga Perdana apabila satu rembatan kencang Kevin De Bruyne memastikan kemenangan 1-0 di Chelsea awal pagi tadi.
Setelah tewas kepimpinan Liga Perdana kepada Man United beberapa jam sebelum itu, City kembali mengatasi pesaing kuat mereka melalui perbezaan jaringan, terima kasih kepada jaringan separuh masa kedua De Bruyne.
Pasukan Pep Guardiola meraikan kemenangan kelima liga berturut-turut, dan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua persaingan, menguatkan lagi kepercayaan bahawa mereka mampu merampas mahkota dari Chelsea.
Kekalahan pertama Chelsea sejak tewas kepada Burnley, meletakkan mereka enam mata di belakang City di kedudukan keempat. Meskipun dengan ketiadaan Sergio Aguero selepas penyerang Argentina itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk selepas terlibat dalam kemalangan pada hari Khamis, City telah mendominasi dan hampir mendapat gol pendahuluan separuh masa pertama, yang menyaksikan Thibaut Courtois berjaya menolak keluar tandukan Fernandinho.

Chelsea mengalami satu tamparan apabila penyerang Alvaro Morata terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35, bergelut menguasai permainan buat tempoh yang lama, akhirnya ditembusi pada minit ke-67. Setelah menerima hantaran Gabriel Jesus, De Bruyne berlari tanpa dikawal ke tepi petak penalti dan merembat kencang menewaskan Courtois bagi gol liga pertamanya musim ini.
“Kami sangat gembira. Perkara paling penting adalah memenangi perlawanan, tetapi cara kami bermain terutamanya di separuh masa kedua adalah mengembirakan. Chelsea gagal mengawal bola dan terpaksa membuat hantaran jauh,” kata Guardiola.
Bos Blues, Antonio Conte pula berkata: “Ia adalah perlawanan sukar tetapi kami sedar bahawa City adalah pasukan besar.
“Kami telah mencipta beberapa peluang, tetapi tidak memanfaatkannya. City juga mempunyai peluang mereka dan mereka tidak mensia-siakannya.” – AFP