Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol Eriksen selamatkan Spurs

    LONDON, 29 Nov – Christian Eriksen yang masuk sebagai pemain gantian memastikan peluang Tottenham untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara masih terbuka apabila bintang Denmark itu menjaringkan gol lewat untuk kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan awal pagi tadi.

    Pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu hanya berbaki 10 minit daripada tersingkir di peringkat kumpulan apabila tampak bergelut dalam usaha mereka membolosi gawang Inter di Wembley.

    Tetapi Eriksen, yang menimbulkan tanda tanya apabila diletakkan di bangku simpanan oleh Pochettino, kemudian masuk menyelamatkan Tottenham dan penentuan kelayakan Kumpulan B akan diputuskan pada perlawanan terakhir dua minggu lagi.

    Ia adalah perlawanan dramatik sehingga ke penghujungnya bagi Tottenham, yang perlu bekerja keras untuk kemenangan bagi mengelak daripada terkandas di peringkat kumpulan buat kali kedua dalam tiga musim.

    Selepas memperoleh satu mata daripada tiga perlawanan pembukaan, Tottenham dua kali menjaringkan gol dalam 12 minit terakhir permainan sekali gus menyelamatkan mereka daripada tersingkir awal di tangan PSV Eindhoven awal bulan ini.

    Eriksen (tengah) meraikan jaringan kemenangan buat Tottenham Hotspurs ketika menentang Inter Milan di Stadium Wembley. – AFP

    Dan kejayaan terbaharu ini memastikan Tottenham berada di kedudukan kedua, berkongsi mata dengan Inter di tangga ketiga.

    Mereka bakal menentang pendahulu kumpulan, Barcelona pada 11 Disember ini dengan kemenangan bakal menjamin kedudukan ke kelompok 16 terakhir, tanpa mengira apa pun keputusan yang diperoleh Inter dalam pertemuan menentang PSV pada malam yang sama.

    Pachettino menegaskan bahawa Tottenham akan mara ke pusingan akhir dan berkata “Semuanya tidak mustahil. Saya tidak katakan ia adalah misi mustahil, dalam bola sepak semua boleh berlaku, anda hanya perlu yakin.

    “Ia bakal menjadi sukar (untuk menang di Barcelona) tetapi keyakinan adalah sangat penting,” katanya.

    “Kadangkala meskipun anda memenangi perlawanan, anda perlu melakukan sesuatu untuk menyerlahkan pasukan, dengan menukar pemain, mengatakan mereka semua adalah penting,” kata Pochettino mengenai keputusannya untuk menyimpan Eriksen dan Son Heung-Min di bangku simpanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda