Gol Haller bantu Ivory Coast tundukkan Cameroon

JOHANNESBURG, 7 SEPT – Bekas penyerang West Ham, Sebastien Haller menyumbat dua gol dalam masa sembilan minit untuk memberikan kemenangan kepada Ivory Coast 2-1 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia ke atas Cameroon di Abidjan, kelmarin.

Haller, yang berpindah ke Ajax Amsterdam pada Januari lalu selepas menjaringkan 14 gol dalam 54 penampilan untuk The Hammers, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-20 dan berjaya melepaskan kawalan pemain pertahanan lawan untuk menggandakan jaringan.

Moumi Ngamaleu kemudian merapatkan kedudukan menerusi satu lagi sepakan penalti yang diberikan, pada minit ke-61, untuk menjadikan pengakhiran yang sengit dalam pertemuan di Kumpulan D.

Ivory Coast menerajui peringkat kumpulan dengan empat mata selepas dua pusingan, Cameroon mengutip tiga mata dan Mozambique dengan satu mata sementara Malawi masih memburu mata pertama.

Kumpulan D merupakan satu-satunya kumpulan yang mengandungi dua negara yang menghuni kedudukan ranking 10 teratas di benua tersebut, Ivory Coast berada di kedudukan ke-12 apabila mereka di undi dua tahun yang lalu.

Sementara itu, Afrika Selatan berjaya menewaskan Ghana 1-0 di Johannesburg menerusi jaringan minit ke-83 oleh Bongokuhle Hlongwane sekali gus merampas kedudukan teratas Kumpulan G.

Menurunkan barisan pemain muda dan kurang berpengalaman di bawah kendalian pengurus baharu, Hugo Broos, Afrika Selatan sepatutnya berada di hadapan pada awal minit permainan.

Percy Tau, yang meninggalkan Brighton untuk menyertai pasukan dari Mesir dan gergasi Afrika, Al-Ahly, menyaksikan jaringan menerusi tandukannya dibatalkan kerana ofsaid.

Makgopa, yang diserapkan ke dalam pasukan selepas Broos mengadu mempunyai skuad ‘lama’, terlepas peluang sebelum separuh masa, gagal menjaringkan gol ketika pintu gawang tidak dikawal. – AFP

Reaksi Sebastien Haller meraikan gol untuk membantu Ivory Coast menundukkan Cameroon dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di Abidjan, baru-baru ini. – AP